KUCHING: Kemenangan majoriti dua pertiga Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 kali ini dalam jangkaan dan kejayaan, memenangi 76 kerusi yang dipertandingkan adalah bonus.
Pemenang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman berpendapat bahawa kemenangan dua pertiga GPS tidak menjadi masalah disebabkan apa-apa yang telah dilakukan dalam masa tiga tahun sejak Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerajui tampuk kepimpinan.
Katanya, Ketua Menteri telah menekankan kepada pembangunan digital disebabkan ia adalah masa hadapan dan seluruh dunia sekarang memberi penekanan tentang pembangunan digital dan sudah tentu kerajaan tidak mahu ketinggalan.
“Kedua adalah pembangunan luar bandar, sering kali didengar pada setiap PRN sentimen yang sentiasa dibawa oleh pihak pembangkan adalah sudah 50 tahun merdeka tetapi masih tidak ada pembangunan walaupun sebelum itupun kerajaan banyak melaksanakan pembangunan.
“Tetapi dalam masa tiga tahun, begitu jelas sekali pembangunan infrastruktur luar bandar yang telah dilaksanakan oleh Ketua Menteri dan ia dirasai oleh seluruh masyarakat di negeri Sarawak. Sudah tentu mereka yakin dengan kepimpinan GPS di bawah pimpinan Abang Johari, maka sudah tentu apabila tiba masa PRN mereka tahu siapa yang paling layak memimpin negeri.
“Apatah lagi semasa Covid-19 melanda, banyak bantuan telah kerajaan berikan kepada masyarakat.
“Tiga faktor tersebut, kita yakin bahawa GPS akan memenangi PRN ini dengan majoriti dua pertiga dan dengan kemenangan 76 kerusi, itu adalah satu bonus kepada GPS,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sembang Politik Bersama Utusan Sarawak dan Jiwa Bakti di Hotel Samudra, semalam yang mengupas tentang pascaPRN.
Ditanya mengenai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Amanah tidak memenangi sebarang kerusi bermaksud sama ada rakyat Sarawak menolak parti luar ataupun ia berkaitan dengan slogan GPS ‘Sarawak Diutamakan’, Fazzruddin berpendapat bahawa perkara itu sudah pun bermula sejak zaman Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem (Tok Nan) lagi.
Katanya, pada ketika itu sudah ada sentimen bahawa ‘orang Sarawak sahaja yang dapat jaga Sarawak’, maka ia dimulakan dari Tok Nan dengan kerajaan memperjuangkan hak-hak Sarawak.
“Hak-hak ini diperjuangkan dalam konteks mengikut Perlembagaan Malaysia dan menurut lunas undang-undang yang sedia ada bukannya sembarang sahaja, tidak … dengan lunas undang-undang tersebut kerajaan memperjuangkan hak yang telah termaktub dalam dokumen Perjanjian Malaysia 1963 & Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perlembagaan Negeri Sarawak dan juga Perlembagaan Malaysia.
“Sebab itu, apabila disambung oleh Abang Johari, kerajaan telah membentuk parti sendiri yang lebih memahami kehendak dan keperluan dalam jangka masa panjang dan pendek penduduk, maka ia diperkuatkan lagi dengan pembentukan GPS.
“Sewaktu pembentukan tersebut, kerajaan telah menerima maklum balas positif daripada rakyat bahawa mereka yakin parti Sarawak akan dapat membawa Sarawak ke peringkat yang lebih jauh, jadi ia bermula dari zaman Tok Nan dan disambung oleh Abang Johari,” katanya.
Tambahnya, apabila Ketua Menteri mengambil alih kerajaan, beliau menunjukkan prestasi kerjanya dan menunjukkan kepada para pengundi segala apa yang dilaksanakan oleh GPS.
“Tidak dapat dinafikan banyak pencapaian yang telah dilaksanakan, jika dilihat dengan mata kasar, jika dengar dengan telinga … pergilah ke kawasan pendalaman, ada projek bekalan air telah siap, ada yang sedang dalam pembinaan seperti projek bekalan elektrik, projek jalan yang sekian lama menjadi retorik yang digunakan oleh pihak pembangkang, tetapi kerajaan telah laksanakan dalam masa tiga tahun.
“Jadi ia menguatkan lagi bahawa parti Sarawak tahu apa-apa yang dimahukan oleh orang Sarawak, maka sebab itulah saya melihat PKR, Amanah dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), perjuangan mereka tidak relevan di Sarawak,” ujarnya.
Oleh JEAKQLEYN YACHO