BEBERAPA negeri di Semenanjung seperti Johor, Perak dan Melaka boleh dikatakan tidak begitu stabil kerana dipimpin kerajaan minoriti.
Bulan lalu, kerajaan negeri Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) jatuh apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berpaling tadah, memaksa DUN dibubar bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Tetapi orang Melaka bijak dalam PRN itu, apabila memberi kemenangan 21 daripada 28 kerusi DUN, iaitu majoriti dua pertiga untuk BN. Keadaan ini menstabilkan Melaka untuk tempoh lima tahun akan datang.
Tiga kali Melaka bertukar Ketua Menteri dalam tempoh selepas PRU lalu membabitkan dua pemimpin, dengan Ketua Menteri sekarang, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pernah dilantik Ketua Menteri Melaka ke-11 pada 11 Mei 2018.
Semuanya gara-gara kerajaan minoriti.
Sebelum DUN Melaka dibubar bulan lalu, Barisan Nasional (BN) mempunyai 17 kerusi iaitu 14 milik UMNO, Bersatu (2) dan Bebas (1), manakala pembangkang mempunyai 11 kerusi iaitu DAP (7), PKR (2) dan Amanah (2).
Di Perak pada Disember tahun lalu, turut menyaksikan Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, meletak jawatan setelah gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya pada sidang DUN Perak.
Ahmad Faizal sebelum itu menerajui kerajaan PH selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. Kerajaan PH Perak tumbang pada 10 Mac lalu selepas Ahmad Faizal meletak jawatan.
Kini, ADUN Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad (UMNO) mengambil alih sebagai Menteri Besar.
Pun begitu, UMNO biarpun memiliki 25 ADUN yang menyokong Saarani ke jawatan itu, masih kurang lima ADUN bagi melengkapkan sokongan majoriti mudah, memaksa sokongan diraih daripada parti lain, dengan ‘tawaran’ juga dibuka kepada parti dalam Pakatan Harapan (PH).
DAP dan PKR, ketika hari pertama kemelut tercetus sudah menyatakan kesediaannya untuk memberi sokongan kepada ADUN UMNO sebagai Menteri Besar, susulan keputusan PAS yang memiliki tiga ADUN, berpendirian untuk tidak menyertai pembentukan kerajaan baharu.
Namun, segala kemelut pemilihan jawatan itu akhirnya terungkai selepas BERSATU, PAS dan UMNO bersetuju mencadangkan Saarani yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak sebagai Menteri Besar baharu, sekali gus mengekalkan gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.
Puncanya? Sebab kemenangan minoriti.
Perak mempunyai 59 ADUN yang terdiri daripada 25 ADUN BN, Bersatu (5), PAS (3), DAP (16), PKR (3), Amanah (5) dan masing-masing satu bagi Gerakan dan Bebas.
Begitu juga di Johor.
Pakatan Harapan (PH) menguasai negeri itu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dengan melantik ADUN Kempas, Osman Sapian, menjadi Menteri Besar, namun beliau digantikan dengan Dr Sahruddin Jamal (Bukit Kepong) hanya kira-kira 11 bulan kemudian.
Selepas PH dijatuhkan, BN dan PH kemudian melantik ADUN Benut, Hasni Mohammad menjadi Menteri Besar.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan BN-PN menguasai 29 kerusi manakala PH 27 kerusi.
Berbanding Melaka dan Perak, belum berlaku DUN Johor dibubar meskipun kedudukan kerajaan negeri masih ‘fragile’.
Esok adalah penentuan untuk PRN ke-12 Sarawak. Nasib 349 calon yang bertanding di 82 kerusi DUN terletak di tangan 1,252,014 pengundi.
Mereka penentu parti mana akan menang untuk memimpin kerajaan negeri lima tahun akan datang.
Pengundi pula sudah bijak dan mengambil kira apa yang berlaku di beberapa negeri di Semenanjung yang goyang kerana parti yang memerintah cuma menang majoriti mudah.
Sudah pasti rakyat Sarawak mahu politik yang lebih stabil dengan majoriti 2/3 demi kelangsungan pembangunan.
Daripada 82 kerusi DUN Sarawak, memerlukan majoriti mudah 42 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri, manakala bagi mendapat majoriti dua pertiga, perlu menang tidak kurang daripada 56 kerusi.
Apakah kita mahu semua insiden yang berlaku di Melaka dan Perak, berlaku di Sarawak – asyik bertukar jawatan pucuk pimpinan?
Lebih parah, keadaan menjadi kacau bilau kerana kerajaan boleh jatuh bila-bila masa bila berlaku episod lompat melompat.
Ini tidak baik pada kaca mata pelabur dan rakyat pula muak dengan ‘politiking’ saban hari, tuduh menuduh berlaku.
Keadaan tidak stabil ini boleh merencatkan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat.
Oleh itu, rakyat negeri ini perlu berfikir secara rasional apabila turun mengundi esok. Pilihlah parti yang boleh meneruskan kesinambungan dan terbukti membela nasih rakyat.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Kumpulan Utusan Sarawak/Mingguan dan Jiwa Bakti.