Bermula dari 26 hingga 28 November lepas, Mini Stadium Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dekat Bandar Simanggang telah dipilih sebagai lokasi kedua bagi tujuan penganjuran Program Jerayawara Sahabat Astronomi 2021 (JSA21).
Sebelum itu, Vivacity Megamall, Kuching telah menjadi lokasi pertama bagi tujuan penganjuran JSA21 dengan Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) bertindak sebagai pengendali program berkenaan.
Apakah tujuan utama pelaksanaan JSA21? Program ini bertujuan memberi pendedahan terhadap orang ramai terutama sekali pelajar Sarawak mengenai astronomi, sains angkasa, mengenali sistem suria dan seterusnya menarik minat mereka dalam bidang angkasawan.
Ketua Seksyen Perancangan Tenaga Kerja, Khaninah Arif ketika berucap merasmikan pelancaran program itu berkata pendedahan tersebut akan dapat menggalak para pelajar untuk menguasai ilmu itu sepanjang proses pembelajaran mereka.
“Untuk pengetahuan, ilmu sains angkasa telah membolehkan beberapa negara seperti Amerika Syarikat, China dan Russia bertindak menguasai angkasa lepas, menghantar angkasawan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa dan menghantar satelit ke orbit.
“Jika pelajar kita dapat menguasai kesemua ilmu berkenaan maka tidak mustahil Malaysia mampu bersaing dengan negara maju yang lain dalam bidang sains angkasa berkenaan pada masa akan datang,” kata beliau.
Bagaimanapun hasrat MESTR untuk melihat para pelajar menguasa bidang sains angkasa kata Khaninah akan sukar dicapai tanpa campur tangan para guru besar dan guru-guru di sekolah dalam negeri ini.
Atas sebab itulah beliau melalui program berkenaan memohon bantuan para guru besar dan pengetua dari seluruh sekolah dalam negeri ini untuk menggalak penglibatan pelajar mereka dalam bidang sains angkasa lepas.
“Penguasaan ilmu sains angkasa dalam kalangan pelajar negeri ini adalah amat penting agar negara mampu menguasai teknologi terkini seperti yang dikuasai oleh lain-lain negara sebelum ini.
“Sebab itulah kita khaskan Program JSA21 ini untuk golongan pelajar. Dengan adanya galakkan dan motivasi daripada para guru maka dapatlah para pelajar tersebut meneroka bidang sains angkasa seperti yang dikehendaki negara sebelum ini,” kata beliau.
Hadir sama pada Majlis Pelancaran Program JSA21 berkenaan adalah Kurator Planetarium Sultan Iskandar, Ismandy Ali, para pengetua, guru besar dan guru-guru dari sekolah sekitar Sri Aman.
Terdahulu Program JSA21 telah pun akan diselitkan dengan lapan aktiviti menarik dengan empat daripadanya adalah ‘Mini Planetarium Tour’, ‘Stellarium/Virtual Exploration’, ‘Shoot To The Mars Photobooth’ dan ‘Visitor Of The Day Challenge’.
Manakala baki empat lagi aktiviti yang diselit dalam program berkenaan adalah ‘Astronomy Hybrid Webinar’, ‘Star Chat Workshop’, ‘Prof Kenyalang Science Show’ dan ‘Galaxy Quiz and Games’.
University of Technology, Sarawak (UTS) di Sibu telah menjadi lokasi ketiga pelaksanaan Program JSA21 ini bermula dari 3 hingga 5 lepas dan seterusnya di Miri (tempat akan dimaklumkan) sebagai lokasi keempat dari 17 hingga 19 Disember.
Lokasi terakhir pelaksanaan Program JSA21 berkenaan adalah di Mydin, Kuching iaitu bermula dari 26 hingga 28 Disember ini.
Oleh VALENTINE NGUMBANG