SIMUNJAN: Pelancaran Sarawak Linking Urban Rural and Nation (SALURAN-MySRBN) adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi menyelesaikan masalah capaian internet di kawasan luar bandar.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini adalah satu daripada usaha kerajaan kerana banyak lagi kampung yang tidak mempunyai signal (isyarat jaringan) yang membolehkan penduduknya berhubung dengan masyarakat luar.
“Simunjan ini selalunya orang kata ‘blind spot’, sebab kadang-kadang tidak ada isyarat internet disebabkan beberapa faktor seperti keadaan muka bumi yang berbukit-bukau yang menjejaskan liputan.
“Jadi kita ada cara, menerusi MySRBN ia akan memberi kemudahan kepada penduduk untuk berhubung dengan rakan-rakan menerusi internet.
“Inilah yang kita buat dan laksanakan di Simunjan, termasuklah di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan Simunjan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sarawak Linking Urban Rural dan Nation (Saluran-MySRBN) di Padang Sentral Simunjan, semalam.
Abang Johari berkata, melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) pembangunan hal-hal berkenaan dengan komunikasi akan lebih terperinci dan berstruktur.
“Dahulu hanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sahaja, tetapi kita ada SMA dan SMA juga berkerjasama dengan MCMC. Jadi pembangunan kita dari sudut hal-hal telekomunikasi ini lebih terperinci dan berstruktur sebab itu kita melancarkan MySRBN ini untuk kawasan Simunjan.
“MySRBN ini adalah demi untuk kepentingan rakyat, selagi saya masih menjadi Ketua Menteri, kita akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat, kerana rakyat berkehendakannya.
“Jadi sebab itu kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak bergantung pada Kuala Lumpur (Kerajaan Persekutuan) sahaja, sebab itu kita jaga Sarawak ini dengan cara kita sendiri dengan mengikut budaya ala Sarawak,”ujarnya.
Pada masa yang sama, Abang Johari menggesa penduduk di kawasan tersebut menggunakan kemudahan yang ada dengan sebaiknya.
“Hanya satu yang saya minta, janganlah memuat turun filem seperti Netflix, jika anda pakai internet untuk muat turun filem dari sana, orang lain tidak ada peluang untuk menggunakannya kerana ia hanya 30mbps.
“Jika untuk sekolah, berniaga tidak ada bermasalah, yang saya risau mereka yang muat turun filem ini.
Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki (Transformasi Sosio Ekonomi), Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr. Zaidi Razak dan penyandang DUN Simunjan Alwa Dris.
Oleh JEAKQLEYN YACHO