Bunga ros memang sinonim dengan cinta dan kasih sayang serta peristiwa-peristiwa indah dalam hidup. Justeru, hadiah alam yang menarik ini sentiasa menjadi pilihan untuk menyampaikan kasih sayang dan ingatan, dari satu hati ke satu hati yang lain.
Setiap warna dan jumlah kuntuman indah ini mempunyai cerita di sebaliknya. Tiga kuntum ros merah yang dihantar kepada pasangan sebenarnya menyampaikan ungkapan ‘Aku Cinta Padamu’, sembilan kuntum untuk menyampaikan ‘cinta hingga hujung nyawa’, ros kuning untuk persahabatan, ros biru bagi menyampaikan bahawa hubungan itu sukar diteruskan dan sebagainya.
Kalau pun bukan untuk menyampaikan mesej-mesej ini, ramai yang suka menanam bunga ini kerana keterujaan ‘menghidupkan’ bunga ini jauh lebih tinggi daripada bunga-bunga lain. Ini kerana ros adalah spesies yang perlukan perhatian dan jagaan sepenuhnya sebelum ia menghadiahkan kuntuman-kuntuman indah kepada penanamnya.
Bagi pengusaha kebun bunga, Ang Hui Yann, 47, , hidup beliau lebih indah kerana sentiasa dikelilingi kuntuman-kuntuman indah ini di kebunnya di Jalan Semaba, Kuching. Di antara bunga-bungaan yang menghiasi kebunnya, bunga ros dan Azalea mendapat tempat lebih besar di hatinya kerana ini sumber pendapatannya.
Ang telah mula menanam bunga sejak 1990 dengan mewarisi bakat berkebun itu daripada ibunya yang telah menceburi bidang ini sejak tahun 80-an. Melihat sambutan daripada orang ramai yang kerap bertandang ke kebun bunga ibunya untuk membeli bunga-bungaan, memberi ilham kepada Ang untuk menjadikan bidang ini kerjayanya.
Bagaimanapun Ang lebih terkehadapan daripada ibunya apabila beliau berani mengambil risiko menjual bunga-bunga import dari benih kacukan seperti spesies Rose Forever dan Azalea dari Tanah Tinggi Cameron di Semenanjung Malaysia.
Walaupun harga sepasu bunga ini mencecah RM45, sambutannya sentiasa baik dari kalangan para pencinta bunga-bungaan tempatan.
Namun untuk membawa bunga ini ke Sarawak bukanlah mudah kerana ia harus melalui proses yang panjang dan risiko yang tinggi.
Menurut Ang, dari 100 pasu ros yang beliau tempah baru-baru ini, lebih 30 pokok tidak dapat dijual kerana rosak semasa penghantaran.
“Masalah ini berlaku kalau penghantaran lambat sampai, biasanya disebabkan forwarder lambat ambil kiriman atau kadang-kadang mereka tak mahu kirim sebab kuantiti tak cukup, mereka tunggu hingga cukup dulu baru meneruskan kiriman,” kata Ang.
Untuk membawa bunga ros ini ke Sarawak, Ang juga perlu membawa harga yang tinggi untuk sijil Fitosanitasi, permit serta caj kargo bagi setiap penghantaran. Selain itu, beliau juga terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bekalan kerana terpaksa menunggu giliran bersama para pengimport bunga yang lain dari seluruh Malaysia.
Mengakui jagaan bunga ros ini agak remeh, Ang berkata ramai penanam yang ‘tewas’ kerana tidak mematuhi kehendak jagaan yang sewajarnya.
“Ada yang memberitahu saya bunga mereka mati selepas tiga hari dibeli tetapi ada juga yang sudah menanamnya lebih tujuh tahun. Semuanya terpulang kepada jagaan,” kata beliau.
Menurut Ang, bunga ini perlukan baja air dan baja bijian, selain memerlukan tempat yang mempunyai cahaya matahari tetapi bukan terlalu terik. Malah besar kecil atau banyak mana kuntuman yang muncul, juga bergantung kepada jagaan.
“Baja air perlu diberi setiap hari, manakala baja bijian pula seminggu sekali. Kalau malas membaja dan menyiram, dalam tiga hari boleh mati. Kalau beri air tak beri baja, mungkin boleh tahan sehingga sebulan dua. Kalau tempat tak ada cahaya matahari, memang cepat mati. Pendek kata, bunga pun sama seperti manusia, perlu banyak suplemen” kata beliau.
Selain bunga import, Ang juga menjual pelbagai spesies bunga lain, sama ada di kebunnya sendiri atau setiap hujung minggu di Medan Niaga Satok.
Oleh HAINI DARANI