PORT DICKSON: Tentera Darat Malaysia (TDM) tidak akan sesekali berkompromi terhadap aktiviti buli dalam kalangan anggotanya, kata Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Beliau berkata, siasatan menyeluruh akan dilaksanakan dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah melakukan perbuatan tersebut termasuk diberhentikan perkhidmatan mereka dalam TDM secara serta-merta.
“Tentera Darat biar saya maklumkan di sini, kalau betul kamu ditangkap menganiaya dan membuli anggota-anggota, jika disiasat serta didapati bersalah, akan diberhentikan serta-merta, secepat mungkin.
“Itu pendirian saya, tidak perlu proses (di) Mahkamah Tentera, akan (terus) beri hukuman, bentuk hukuman pula yang bukannya boleh dirujuk di Mahkamah Tentera, lepas itu akan diberhentikan, kalau tak yakin cubalah, memang saya akan buat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Galeri PTD di Muzium Tentera Darat di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tangkap layar mesej seorang individu yang dimuat naik melalui Twitter @pedoqpop, mendakwa adiknya iaitu seorang anggota tentera yang tinggal di dalam kem bujang dipukul dan dibuli sekumpulan anggota (tentera) senior, baru-baru ini.
Pada 2 Disember lepas, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dilaporkan menggesa individu yang membuat dakwaan itu tampil memberikan maklumat supaya siasatan menyeluruh berhubung perkara itu dapat dibuat dengan identiti individu (pemberi maklumat) terbabit juga akan dilindungi.
“(Mengenai kes itu) saya dapat maklumat kata adiknya dibuli, tetapi saya akan bertindak hanya apabila dapat butiran terperinci sebab dia pun tak jelaskan, adik dia dari mana, unit mana, tentera laut, darat atau udara, macam mana nak siasat. Saya difahamkan kes telah diambil alih Kementerian Pertahanan,” katanya.
Dalam pada itu, Zamrose berkata Galeri PTD yang mengambil masa tujuh tahun untuk disiapkan bertujuan menyimpan dan mempamerkan koleksi PTD bermula dari yang pertama hingga terkini untuk tontonan orang awam sekali gus menghargai jasa dan sumbangan kesemua bekas PTD.
Beliau berharap segala koleksi yang berada di galeri terbabit akan menjadi sumber rujukan sejarah dan bahan ilmiah kepada masyarakat kini dan generasi akan datang selain mencerminkan keperibadian dan ketokohan bekas PTD semasa dalam perkhidmatan.
“Saya ingin menyarankan anggota tentera dan orang ramai untuk mengunjunginya dan saya yakin setiap pengunjung akan dapat menghayati segala pengalaman dan jasa bakti yang ditaburkan bekas PTD dalam memacu pembangunan dan kecemerlangan TDM,” katanya.
Jelasnya, TDM juga akan terus melaksanakan usaha pengumpulan dan mendokumentasikan setiap peristiwa bersejarah yang berlaku dalam TDM memandangkan ia bukan sahaja untuk dikenang bahkan boleh dijadikan teladan kepada anggota tentera pada masa akan datang.
Galeri PTD itu mempamerkan biografi 28 PTD berserta koleksi peribadi masing-masing termasuk watikah pelantikan, tongkat kuasa, pingat dan darjah kebesaran yang telah diterima serta koleksi peribadi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dalam ATM. – Bernama