LABUAN: Terminal Feri dan Lapangan Terbang di Labuan dijangka sibuk menjelang sambutan Hari Krismas dan cuti persekolahan hujung tahun.
Beribu-ribu orang dijangka melakukan perjalanan dari Menumbok ke Kota Kinabalu, Sarawak dan Semenanjung dalam tempoh itu, yang menyaksikan perubahan besar sejak negara dilanda pandemik Covid-19.
Labuan mempunyai dua terminal feri ke tanah besar Sabah dengan empat feri beroperasi iaitu Kimanis 1, Goodwill Star, Putrajaya 1 dan Galaxy untuk mengangkut kenderaan serta penumpang setiap hari.
Terminal Feri Antarabangsa Labuan pula adalah bagi membawa penumpang secara terus ke Terminal Jesselton Point di Kota Kinabalu (hanya satu perjalanan pada hujung minggu) dan ke Menumbok (sembilan perjalanan) serta Sipitang (dua perjalanan), Sabah dan Lawas (satu perjalanan) dan Limbang di Sarawak (satu perjalanan), yang diusahakan LDA Labuan-Holdings Sdn Bhd (milik penuh Yayasan Pembangunan Labuan).
Kebanyakan individu yang ingin ke tanah besar Sabah akan berbuat demikian dengan menaiki kenderaan (melalui feri ro-ro), justeru jalan raya dari Menumbok ke Kota Kinabalu dijangka sesak sepanjang tempoh itu.
Bagaimanapun, Pengurus Labuan Point Enterprise Sdn Bhd (ejen tiket Terminal Feri Labuan) Robert Ling Song Thieng berkata pihak siap siaga menghadapi lonjakan pengembara menjelang cuti umum dan cuti persekolahan hujung tahun itu.
“Kami sudah bersedia… kami yakin mampu menangani peningkatan penumpang yang kami jangkakan berlaku,” katanya, kepada Bernama semalam.
Beliau berkata sejak 1 November lepas, perkhidmatan feri ro-ro telah beroperasi mengikut jadual biasa atau mempunyai enam perjalanan (Labuan-Menumbok-Labuan) setiap hari dan ia telah diluluskan oleh Jabatan Laut Labuan.
“Peningkatan kadar vaksinasi Covid-19 telah membuatkan orang ramai lebih yakin untuk melakukan perjalanan hingga membawa kepada lonjakan dalam tempahan,” katanya.
Malah katanya, tiket feri dari Labuan ke Menumbok bagi perjalanan sehingga 31 Disember ini sudah habis terjual secara dalam talian namun pengembara masih boleh mencuba nasib mereka di kaunter tiket.
Jurucakap Lapangan Terbang Labuan pula berkata, kekerapan penerbangan dari Labuan ke Miri dan Kota Kinabalu kembali normal kepada tiga kali sehari manakala penerbangan ke Kuala Lumpur ialah dua kali sehari bermula bulan ini.
Katanya, ini mungkin petanda bahawa tahap perjalanan udara kembali normal dan berharap trajektori menaik itu berterusan.– Bernama