LUNDU: Golongan belia digesa untuk merebut peluang latihan dan kursus berkaitan ekopelancongan mampan sesuai dengan potensi yang ada di kawasan Tanjong Datu.
Calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan berkata antara ekopelancongan yang berpotensi di kawasan tersebut melibatkan pantai, kraftangan, rumah inap desa, gunung, air terjun dan sebagainya.
“Dengan adanya Kampus Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) yang menawarkan kursus-kursus seperti bidang hospitaliti dan pelancongan, ia akan memberi lebih peluang kepada golongan belia yang terlatih dan berkemahiran untuk mengambil peluang untuk menaik taraf kehidupan mereka.
“Inilah pembangunan yang dibawa oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) di mana setelah siapnya pembinaan Jambatan Rambungan dan jalan raya Pan Borneo, ia akan menjadikan ekopelancongan berkembang dengan pesat sekaligus menambah pendapatan masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri ke Program Voluntourism: Penghijauan Malaysia di Kampung Telok Melano, di sini, semalam.
Dalam pada itu, beliau berharap masyarakat di kawasan DUN Tanjong Datu memberi peluang kepada beliau untuk meneruskan pembangunan di kawasan tersebut dengan visi untuk memajukan pendidikan, sosio budaya, ekonomi dan pelancongan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA