SARIKEI: Menyantuni dan bertemu rakyat setiap minggu sudah menjadi rutin calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datu Len Talif Salleh sejak dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.41 Kuala Rajang pada 2016.
Katanya, beliau melawat kawasan DUN Kuala Rajang setiap minggu bagi melihat pemasalahan rakyat.
“Ini yang selalu saya lakukan, lebih-lebih lagi semasa pandemik Covid-19, saya kerap ke kawasan bagi memastikan kebajikan penduduk kampung terjaga.
“Saya melawat ke kawasan Kuala Rajang setiap minggu bukan bermusim atau sekadar pada masa pilihan raya saja,” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.
Tambahnya, oleh kerana perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi keselamatan semua, maka beliau bersama rombongan datang menziarahi penduduk dalam skala yang kecil dan bertemu dengan mereka di luar rumah sahaja.
Semalam, beliau telah menjalankan lawatan untuk bertemu penduduk di Bukit Kinyau, Sebayang dan Tusok.
Selain itu, kelmarin (Sabtu), beliau turut menjalankan lawatan ke Tanjung Manis, Kampung Belawai, Kampung Jerijeh, Kampung Rajang, Rumah Gabriel Bujang Ikau di Nanga Lepa, Rumah Anis Jugah serta Rumah Chihi di Semalau.
Manakala, pada Jumaat lalu, beliau melawat dan menyantuni rakyat di Sare, antaranya di Rumah Saba Aleng, Rumah Lampun David Kuning, Rumah Malong Geringu dan Rumah Banting Robet Rante dan kemudiannya menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al Ansar Selalang.
“Semasa kunjungan ini juga, saya sempat melihat tapak Sekolah Kebangsaan (SK) Adin terletak di Sare Utara yang merupakan sekolah yang didirikan oleh Allahyarham ayah saya pada 18 Ogos 1955, kini dijadikan sebagai Dewan Serbaguna.
“Saya turut melihat perkembangan pembinaan rumah panjang baharu Rumah Banting Robert Rante yang sedang dibina menerusi pinjaman RM30 ribu setiap bilik dan hanya perlu membayar RM100 sahaja setiap bulan tanpa faedah.
“Sebelah petangnya, saya bertemu penduduk di Rumah Unding Nyegang, Rumah Tawie Dinggat dan Rumah Lidang Empati di Kerubong,” ujarnya.
Oleh EARL ANEK