SIBUTI – Capaian Internet di Bekenu menjadi fokus utama Datuk Rosey Yunus untuk memastikan liputannya sampai ke setiap pelosok kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menjelang tahun depan.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 itu berkata, beliau tidak mahu masalah capaian Internet yang lemah di kawasan itu terus menjadi isu.
“Hal ini penting kerana ia selari dengan perkara kedua yang ingin saya berikan perhatian, iaitu pendidikan. Liputan Internet yang baik akan memberi kelebihan kepada penduduk, khususnya pelajar di sini untuk menikmati kemudahan dan sesi pembelajaran yang ketika ini agak bergantung pada (kaedah) dalam talian,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, Rosey yang juga penyandang kerusi DUN itu berkata, usaha kerajaan ketika ini sudahpun bermula dengan pembinaan beratus-ratus menara komunikasi bagi menaik taraf liputan internet di seluruh Sarawak, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Kerajaan GPS tidak hanya berjanji tetapi memberi bukti dengan jelas. Kita harap pengundi kita bijak menilai. Undi itu akan menentukan hala tuju dan masa depan kita untuk tempoh lima tahun akan datang, jangan sampai tersilap undi, semua akan merana,” katanya.
Di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membangunkan menara telekomunikasi baharu di 794 lokasi membabitkan kawasan pinggir bandar dan luar bandar di Sarawak bermula tahun ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata sasaran 92 peratus peluasan liputan Internet 4G di Sarawak menjelang penggal ketiga tahun depan adalah realistik dan mampu dicapai.
Rosey juga berkata di bawah pimpinan kerajaan GPS, perubahan ekonomi di kawasan luar bandar, terutama Bekenu dapat dilihat apabila berlaku lonjakan pendapatan orang luar bandar yang aktif dalam bidang pertanian.
“Perubahan ini berlaku kerana terdapat kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar yang sebelum ini agak daif. Majoriti penduduk di sini mempunyai kebun sendiri seperti kelapa sawit, nanas dan getah. Ini adalah peluang yang mereka ambil untuk selari dengan kehendak kerajaan dalam usaha meningkatkan pendapatan,” katanya.
Pada PRN Sarawak kali ini, DUN Bekenu menyaksikan persaingan empat penjuru antara Rosey, calon PKR Norhafizah Mohammad Joharie, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Abu Bakar Amit dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Desmond Gani Pengiran.
Rosey menang selesa pada PRN 2016 dengan majoriti 4,789 undi, menewaskan calon PKR, Bill Kayong yang hanya menerima 1,220 undi serta dua calon Bebas, iaitu Austin Sigi Melu (589 undi) dan Jou@Peter Jelin (565 undi).
Seramai 12,674 pemilih berdaftar di DUN Bekenu layak mengundi pada PRN Sarawak kali ini. Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh pengundian pada 18 Disember manakala pengundian awal pada 14 Dis.