GEDONG: Perancangan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menaik taraf Gedong sebagai bandar satelit disambut baik oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya mengalu-alukan perancangan itu dan akan memastikan agenda tersebut dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Dalam menjadikan Gedong sebagai pusat pembangunan satelit bermakna peningkatan jalur lebar merupakan sebahagian daripada intipati pelaksanaan.
“Perkhidmatan pusat satelit ini mesti didorong dengan penyediaan prasarana jalur lebar yang berkualiti tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Program Sembang Warung anjuran Jabatan Penerangan Malaysia Sarawak di Anjung Usahawan Gedong, semalam.
Sehubungan itu, jelasnya, Kementeriannya komited akan membantu Kerajaan Sarawak merealisasikan impian tersebut demi kemudahan rakyat di negeri ini.
“Kami di peringkat Kerajaan Persekutuan bersedia menyusuli perancangan yang spesifik tentang pekara yang boleh dilakukan demi merealisasikan hasrat berkenaan,” katanya.
Pada majlis yang sama, beliau turut menyerahkan watikah Penubuhan Komuniti Keluarga Malaysia dan menyampaikan Pakej Remaja Keluarga Malaysia serta merasmikan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).
Terdahulu, Abang Johari dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Gedong Sebagai Daerah memaklumkan perancangan beliau untuk menjadikan Gedong sebagai bandar satelit di kawasan Samarahan.
Katanya, perancangan ini bertujuan meningkatkan corak kehidupan masyarakat kampung dan rumah panjang supaya dapat menikmati kemajuan yang lebih moden.
Oleh SYAMIMI HUSNA