MANCHESTER United diikat 1-1 oleh Young Boys semalam ketika bos sementara Ralf Rangnick menurunkan pemain muda dalam perlawanan Liga Juara-Juara UEFA.
Dengan United sudah mengesahkan tempat teratas dalam Kumpulan F, Rangnick merehatkan semua pemain utamanya, membuat sebelas pertukaran daripada pasukan yang menewaskan Crystal Palace dalam perlawanan pertama di bawah kendaliannya..
Mason Greenwood memberikan permulaan yang sempurna kepada United, namun jaringan jarak jauh Fabian Rieder sejurus sebelum separuh masa pertama mengesahkan satu mata untuk pasukan pelawat yang tidak mencukupi untuk menghidupkan peluang untuk layak ke Liga Europa.
“Saya sedar sepenuhnya sebelum perlawanan bahawa dengan pasukan ini mereka tidak pernah bermain bersama.
“Kami boleh menjaringkan tiga atau empat gol tetapi selepas kami melepaskan gol penyamaan kami tidak bertahan dengan cukup tinggi, tidak cukup proaktif dan kami juga boleh melepaskan dua atau tiga gol,” kata Rangnick.
Greenwood, 20, merupakan anggota senior tiga barisan hadapan yang turut menampilkan pemain berusia 19 tahun Amad Diallo dan Anthony Elanga.
Rangnick datang dengan reputasi untuk mempercayai pemain belia. Dia mula merasai naluri pemangsa Greenwood ketika penyerang itu secara akrobatik merembat masuk hantaran lintang rendah Luke Shaw hanya selepas sembilan minit.
Juan Mata, seorang veteran dari Sepanyol pada penghujung kariernya hanya diberikan permulaan kedua musim ini.
Rangnick menyerahkan penampilan sulung kelab kepada penjaga gol pilihan ketiga Tom Heaton pada usia 35 tahun dan membawa tiga lagi pemain remaja Teden Mengi, Zidane Iqbal dan Charlie Savage, anak kepada bekas pemain antarabangsa Wales, Robbie Savage.
“Beberapa penampilan sulung untuk Tom Heaton, untuk beberapa pemain muda dan masa permainan untuk pemain yang sangat memerlukan masa permainan,” tambah Rangnick. “Secara keseluruhan saya tidak akan mengatakan (saya) gembira, tetapi ia ok.” – AFP