KUCHING: Pengetahuan tradisional masyarakat tempatan di Sarawak akan membolehkan penyelidikan lanjut mengenai sumber asli dan sekali gus meningkatkan ekopelancongan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sejak turun temurun, masyarakat tempatan di Sarawak telah mengeksploitasi sumber asli secara turun temurun.
“Pengetahuan tradisional mereka mengenai penggunaan sumber asli dalam kehidupan seharian mereka adalah rujukan awal kepada para sarjana untuk meneroka lebih lanjut mengenai potensi penggunaan sumber asli yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Tetap Kementerian, Hii Chang Kee pada Majlis Perasmian Persidangan Serantau dan Pameran Produk Asli, Ubat Tradisional dan Herba 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), semalam.
Abdul Karim juga berkata, persidangan itu bukan sahaja akan mengiktiraf pengetahuan tradisional masyarakat tempatan malah pihak berkepentingan yang berbeza juga boleh bersama-sama mewujudkan projek ekopelancongan mampan dalam tema pembelajaran dan penghargaan untuk memperkasa dan meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
“Dengan aktiviti yang dirancang dengan betul, pengunjung ekopelancongan boleh merasai alam semula jadi di mana komuniti menuai sumber asli, melalui perjalanan pendidikan, dan menghargai nilai budaya sesebuah komuniti.
“Saya berbangga apabila mengetahui bahawa Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menghasilkan buku meja kopi bertajuk “Keajaiban Produk Semulajadi di Malaysia” dan saya menantikan impak yang akan dibawa oleh buku ini ke Sarawak,” tambahnya.
Persidangan tiga hari yang berakhir pada 11 Disember ini dianjurkan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan kerjasama Kementerian bersama Sarawak Business Event, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (Statos), Pusat Biodiversiti Sarawak, Pusat Penyelidikan Klinikal Sarawak, Lembaga Lada Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia dan Persatuan Produk Asli Malaysia.
Ia berfungsi sebagai platform untuk mempamerkan inovasi dan aplikasi produk semulajadi, memupuk kerjasama antara disiplin dan mengenal pasti peluang yang berpotensi.
Majlis itu turut menyaksikan pelancaran buku meja bertajuk “Keajaiban Sumber Asli di Malaysia” yang diharapkan dapat menarik dan memaklumkan pengunjung tentang produk semula jadi di Sarawak.
Oleh JEAKQLEYN YACHO