Sebelum Sarawak beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada awal Ogos lepas, golongan petani yang boleh dikatakan antara golongan yang paling terjejasteruk disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum itu.
Ini kerana penguatkuasaan PKP menyebabkan para petani sukar menjual hasil tani masing-masing sehingga menyebab berlaku lambakan dan seterusnya menggugat mata pencarian mereka sekeluarga.
Bagaimanapun mujurlah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya menemui beberapa jalan penyelesaian bagi mengakhiri belenggu lambakan hasil tani ketika arahan berkenaan dikuatkuasakan.
Antara jalan penyelesaian yang diambil oleh pihak FAMA berhubung isu berkenaan termasuklah dengan menganjur aktiviti Pasar Tani dan Program My Rakyat di lokasi-lokasi terpilih dalam negeri ini.
“FAMA mempunyai sumber untuk membantu mereka memasar hasil tani seperti mengadakan aktiviti Pasar Tani dan Program My Rakyat di lokasi-lokasi terpilih dalam negeri ini.
“Selain menyediakan sumber ini pihak kami juga turut pergi ke ladang-ladang petani untuk mengambil dan membantu memasar hasil tani mereka seperti yang diarah oleh kementerian,” kata Penolong Pengarah FAMA Sarawak, Lois Unggah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Program My Rakyat anjuran FAMA yang berlangsung di Riveria Sport Centre dalam kawasan Debak, Betong pada April lepas.
FAMA menurut beliau juga masih terus mengendalikan operasi Pasar Tani walaupun sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika itu.
“Namun begitu operasi Pasar Tani berkenaan bergantung sepenuhnya kepada situasi semasa penularan pandemik Covid-19 dan arahan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN),” katanya.
Lois ketika ditemu bual ketika itu turut menambah bahawa tiada masalah lambakan hasil tani dilaporkan berlaku dalam kalangan petani di negeri ini pada waktu hasil campur tangan FAMA.
“Usaha FAMA berhubung perkara itu telah menyebabkan para petani dalam negeri ini tidak lagi berasa gelisah memikirkan platform serta akses terbaik untuk memasarkan hasil tani masing-masing.
“Justeru para petani yang mahu memasarkan hasil tani masing-masing hanya perlu menghubungi cawangan FAMA yang terdekat jika mereka mahu berbuat demikian,” kata beliau.
Oleh VALENTINE NGUMBANG