SIBU: Sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik adalah perkara yang sangat penting dalam pelan pembangunan semula Bukit Assek.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, beliau akan memperjuangkan kawasan berhampiran Poliklinik Jalan Oya bagi tujuan pembinaan semula poliklinik baharu, jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.
Katanya, poliklinik baharu itu mesti mempunyai kemudahan mencukupi untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
“Bangunan lama akan dikekalkan dan perkhidmatan yang disediakan boleh dibahagikan antara dua bangunan itu bagi mengurangkan kesesakan.
“Boleh jadi satu bahagian poliklinik ini (klinik lama) untuk perkhidmatan pergigian dan perkhidmatan lain di poliklinik baharu. Dengan ini, kita dapat mengurangkan jumlah pesakit di sebuah klinik dalam satu masa.
“Poliklinik baharu akan berdekatan dengan poliklinik lama bagi memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang lebih baik,” jelasnya pada media di Pejabat Pusat Khidmat Parti SUPP Bukit Assek, semalam.
Beliau percaya, cadangan pembinaan poliklinik baharu itu akan menyelesaikan masalah parkir haram di kawasan tersebut.
“Masalah tempat meletak kenderaan telah mengecewakan penduduk kawasan kejiranan berhampiran poliklinik terbabit.
“Buat masa ini, pihak berkuasa telah memahami isu ini. Polis akan datang dan membantu. Kami cuba untuk tidak mengeluarkan saman melainkan cara mereka meletak kenderaan tidak boleh diterima sama sekali,” ujarnya.
Chieng memberitahu, Poliklinik Jalan Oya dibina pada 1990-an dan telah beroperasi selama lebih 30 tahun.
“Perkembangan jalan perhubungan, penduduk dari pinggir bandar atau bandar-bandar yang berdekatan telah masuk menyebabkan poliklinik ini tidak lagi berupaya menampung jumlah pesakit yang semakin bertambah.
“Sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terdapat ramai pesakit datang ke poliklinik tersebut, dimana pada waktu puncak poliklinik tersebut menerima seramai 1,500 hingga 1,800 pesakit setiap hari,” ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, kawasan tersebut mempunyai ramai penghuni yang berhijrah dari kawasan luar bandar dan warga emas, kebanyakkan mereka tidak mempunyai pengangkutan.
“Sebuah lagi klinik terletak kira-kira tiga kilometer iaitu Klinik Kesihatan Lanang. Mereka masih memerlukan pengangkutan untuk ke sana. Sebab itu, ini (Poliklinik Jalan Oya) masih menjadi klinik pilihan.
“Bayangkan, poliklinik kecil itu menerima jumlah pesakit yang terlalu ramai dan perkara ini telah berlaku sejak bertahun lalu.
“Justeru itu, pembinaan poliklinik baharu amat diperlukan di samping mengekalkan poliklinik yang lama.
“Jika diberikan mandat pada PRN Sarawak Ke-12, saya akan memperjuangkannya,” ujar beliau.
Pada PRN Sarawak Ke-12 ini, kerusi DUN Bukit akan Assek menyaksikan pertandingan enam penjuru.
Calon GPS, Chieng Jin Ek akan ditentang oleh Jess Lau (ASPIRASI), Irene Chang (DAP), Andrew Ting Kee Nguan (PSB), Priscilla Lau (PBK) dan Hii Tiong Huat (Bebas).
Oleh AKUN GIMAN