LIMBANG: Daerah Limbang yang tersepit antara dua daerah Brunei memerlukan perkhidmatan perhubungan udara lebih kerap dan murah.
Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (KPM) diminta menurunkan harga tiket penerbangan yang agak mahal selain perlu menambah kekerapan penerbangan dari Miri ke Lawas dan Limbang.
Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata langkah itu perlu memandangkan rakyat Limbang yang berdepan kesukaran untuk rentas daerah berikutan penutupan sempadan terutama ketika pandemik Covid-19.
“Says harap apa yang dinyatakan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, iaitu menambah kekerapan penerbangan menjadi kenyataan.
“ Memang kita di Limbang menghadapi masalah penerbangan sentiasa penuh dan harga tiket yang agak mahal,”katanya ketika ditemui pada ceramah kempen di Kampung Berawan semalam.
Turut sama Ketua Pemuda PBB Bukit Kota Kaunselor Sufian Mohat.
Jelasnya penerbangan dari Miri ke Limbang perlu ditambah dari tiga penerbangan sehari kepada sekurang-kurangnya enam penerbangan sehari.
“Bagi pihak saya kalau boleh untuk penerbangan dari Limbang ke Miri ditambah dari tiga kepada enam sehari dan penerbangan dari Limbang ke Kuching ditambah setiap hari bukan saja semasa Pilihan Raya Negeri ke-12 tetapi juga diteruskan pada hari biasa,”ujarnya.