KUCHING: Pembangkang hanya mampu mengkritik Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetapi tidak mempunyai rekod dalam membangunkan negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Parti-parti pembangkang hanya mampu mengkritik Gabungan Parti Sarawak (GPS). Mereka tidak mempunyai sebarang rekod pencapaian membangunkan Sarawak,” tegasnya.
Ujarnya, semasa pemerintahan Kerajaan Prsekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH), banyak projek pembangunan di Sarawak telah dibatalkan dan peruntukan ditarik balik.
“GPS membela Sarawak dengan meneruskan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dibatalkan ini menggunakan peruntukan Kerajaan GPS Sarawak.
“GPS telah melaksanakan lebih 100 inisiatif yang merupakan ‘game changer’ untuk merancakkan pembangunan sosioekonomi Sarawak yang telah mendatangkan banyak manfaat kepada rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto GPS Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), malam tadi.
Antara projek-projek strategik berskala besar yang sedang dalam pelaksanaan dan memerlukan masa untuk disiapkan adalah pembinaan 786 kilometer (km) Lebuh Raya Pan Borneo dengan kos RM16.1 bilion dijangka siap pada tahun 2024.
Selain itu, pembinaan 242 km Projek Jalan Utama Kedua yang melibatkan tiga jambatan iaitu Sungai Lingga, Batang Saribas 2 dan Batang Lupar 2 dengan kos RM6 bilion yang dijangka siap pada tahun 2026.
“Dalam pada itu, pembinaan 896 km Projek Jalan Pesisir yang melibatkan 10 jambatan iaitu Batang Rajang, Batang Saribas, Batang Paloh, Muara Lassa, Bintulu-Jepak, Batang Rambungan, Batang Lupar 1, Sungai Sarawak-Sejingkat, Sungai Krian dan Batang Igan yang dijangka siap pada tahun 2028.
“Sistem Transit Aliran Automasi (ART) Kuching yang melibatkan pembinaan dua jajaran laluan sepanjang 52.6 km dijangka beroperasi pada 2025. Sarawak Metro Sdn Bhd sebagai anak syarikat milik penuh Sarawak Economic Development Corporation telah ditubuhkan pada Februari 2018 untuk membangun dan mengurus pengoperasian ART. Buat masa ini, kerja-kerja reka bentuk (design stage) sedang dilaksanakan. Pembinaan dijangka bermula pada tahun hadapan, iaitu suku tahun ketiga 2022,” ujarnya.
Jelasnya, pembinaan 300 menara telekomunikasi yang dijangka siap pada tahun 2022 bertujuan untuk meningkatkan capaian internet di Sarawak.
Di samping itu, pembangunan infrastruktur 5G akan bermula pada 2022 dengan kerjasama Digital National Berhad dan emperluaskan 100 peratus liputan bekalan air dan elektrik menjelang 2025.
Sehingga kini, liputan bekalan air bersih terawat di kawasan luar bandar adalah 66.5 peratus manakala 96 peratus menikmati bekalan elektrik 24 jam.
“GPS juga merancakkan pembangunan luar bandar melalui pelaksanaan Rural Transformation Projects atau RTP.
“GPS telah memperuntukkan RM1.06 bilion dalam tempoh tiga tahun yang lepas untuk melaksanakan 6,427 projek RTP di seluruh Sarawak,” katanya.
Tambahnya, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS diberi peruntukan RM5 juta setahun untuk melaksanakan RTP di kawasan masing-masing.
“Kesemua ADUN GPS telah menunjukkan prestasi yang cemerlang melaksanakan RTP di kawasan masing-masing dan banyak lagi RTP akan dilaksanakan untuk tempoh lima tahun yang akan datang,” katanya.
Semasa rakyat terkesan dengan pandemik Covid-19, GPS telah memberi bantuan yang amat diperlukan rakyat melalui tujuh pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang bernilai RM5.3 billion.
GPS juga telah melancarkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) pada 22 Julai 2021 untuk melonjakkan pembangunan Sarawak.
Tegasnya, GPS yakin dengan mandat penuh rakyat, PCDS 2030 akan dilaksanakan dengan jayanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN