KUALA LUMPUR: Moody’s Investors Service telah menukar unjuran bagi industri perkapalan global daripada positif kepada stabil untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang berikutan permintaan yang melebihi bekalan.
Agensi penafaran kredit itu berkata, perubahan prospek itu didorong oleh perbandingan yang berdaya tahan dengan aliran tunai kukuh yang dijana tahun ini berbanding persekitaran perniagaan yang merosot.
“Sudah tentu keadaan perniagaan dan kewangan akan kekal kukuh, namun, ia tidak mungkin menjadi lebih baik berbanding keadaan sedia ada ketika ini.
“Pendapatan bagi kontena dan kapal pukal kering berada pada paras rekod. Bagaimanapun, kami menjangka pendapatan akan merosot berbanding paras puncak mereka pada 2021, namun, masih tinggi,” kata Penganalisis Kanan Daniel Harlid dalam kenyataan kelmarin.
Bagaimanapun, beliau berkata, penghantaran yang terhad bagi kapal baharu pada tahun depan akan membantu mengekalkan kadar tambang pada tahap yang tinggi.
Beliau berkata, walaupun permintaan bagi barangan dan komoditi masih tinggi dan akan kekal kukuh pada 2022, kadar pertumbuhan dijangka meningkat ke paras yang tinggi dan mula perlahan pada tahun depan dan mencatatkan keuntungan tertinggi dan penjanaan aliran tunai telah digunakan untuk membayar hutang.
Bagaimanapun, menurutnya perbelanjaan modal bagi syarikat perkapalan akan terus meningkat.
“Sehubungan itu, Moody’s menjangka tempahan untuk kapal yang lebih cekap tenaga dan baharu akan terus menjadi tema pada 2022 berikutan syarikat perkapalan bersedia berdepan peraturan alam sekitar yang lebih tegas secara berperingkat bermula 2023,” katanya. – Bernama