SELEPAS penamaan calon berlangsung, kempen Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12) Sarawak bermula. PRN Sarawak kali ini sungguh meriah dari segi penyertaan dalam pilihan raya apabila terdapat 349 calon bertanding, dan ini merekodkan sejarah jumlah calon paling banyak dalam PRN Sarawak. Berbeza juga daripada PRN 2016 yang hanya menyaksikan 229 calon bertanding.
Penyertaan dalam PRN Sarawak kali ini menyebabkan pertembungan pelbagai penjuru. Pertembungan empat penjuru paling banyak yang melibatkan 33 DUN, diikuti lima penjuru di 24 DUN, enam penjuru di tujuh DUN, tiga penjuru di 13 buah DUN, dua penjuru berlangsung di empat Dun, dan hanya satu DUN bertembung 8 calon bertanding. Inilah pertarungan yang paling meriah dalam PRN Sarawak. Namun, dalam konteks era Covid-19, kemeriahan ini bertukar menjadi sepi akibat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilihat sebagai mengekang kemeriahan ini.
Namun, kesuraman ini mulai bercahaya kembali dan pertembungan sengit ini mulai memberikan harapan kesengitan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberikan sedikit kelonggaran dengan membenarkan penganjuran ceramah secara fizikal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mencapai jaringan internet yang melibatkan 64 DUN dikenali pasti mempunyai kadar liputan 4G yang rendah.
SOP dikeluarkan oleh SPR pula kekal tidak membenarkan rentas negeri bagi tujuan berkempen sepanjang tempoh tersebut. Hanya lima pemimpin tertinggi parti politik yang bertanding boleh merentas negeri. Namun senarai nama tersebut perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Kesan SOP
Apabila SOP dikenakan ketat, sudah tentulah akan mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak. Bagi pihak SPR, sudah pasti mempunyai rasional yang kuat untuk mengenakan peraturan tersebut kerana segala maklum balas risiko-risiko kesihatan berpandukan dapatan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kepakaran kesihatan daripada pihak KKM dimanfaatkan bagi memastikan langkah pencegahan dilakukan secara terbaik untuk memastikan rakyat Sarawak terpelihara daripada ancaman atau terdedah kepada jangkitan Covid-19.
Tindakan yang dilaksanakan ini pasti menjadi tidak popular dalam kalangan calon-calon atau parti yang bertanding, sama ada pembangkang mahupun bukan pembangkang, namun langkah ini melangkaui kepentingan parti atau calon yang bertanding. Kesihatan rakyat Sarawak lebih dipentingkan berbanding rintihan ketidakpuasan hati calon-calon dan parti-parti yang bertanding.
SOP yang ketat juga menyebabkan pengundi sukar berinteraksi dengan calon dan jentera kempen. Hal ini mengehadkan pilihan pengundi dan menyebabkan pengundi kekurangan informasi sebelum memilih calon mereka. Maka, pilihan yang dibuat pengundi bukanlah daripada perspektif yang luas dan dibimbangi membuat pilihan yang kurang tepat. Situasi ini juga menyebabkan pengundi memilih untuk tidak mengundi kerana apabila SOP ketat, bermakna ancaman risiko yang berpotensi untuk penularan wabak sangat tinggi. Generasi lama misalnya, lebih sensitif kepada isu jangkitan wabak dan kebimbangan ini boleh terpancar dari segi motivasi untuk turun mengundi.
Kesan Penyertaan Calon
Apabila jumlah penyertaan calon sangat tinggi, memanglah dari satu segi merupakan suatu yang patut diraikan, mencerminkan semangat demokrasi yang tinggi, serta keterbukaan kepada idea-idea baharu. Namun, dari satu segi, situasi ini akan menyebabkan undi yang menjadi berpecah. Misalnya apabila berlakunya pertembungan empat atau lima penjuru dalam satu-satu DUN, bermakna undi-undi yang sebelum ini melibatkan dua atau tiga penjuru akan bertukar dari segi pola sokongan.
Dalam situasi terdapat empat atau lima orang calon yang kesemuanya disukai ramai misalnya, akan menyebabkan dilema pengundi untuk memilih. Maka wujudlah pelbagai pilihan yang menyebabkan undi majoriti yang berpotensi semakin kurang. Misalnya pertarungan di DUN Gedong melibatkan pertembungan empat penjuru antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Namun akhirnya, pengundi akan melihat aspek pengalaman parti yang memerintah. Misalnya, PBK belum pernah berpeluang menang dalam mana-mana kerusi dan ini menyebabkan calon ini terkeluar daripada senarai pilihan pengundi di Gedong. Parti Amanah pula tidak pernah menang di Sarawak, maka keyakinan terhadap parti itu sangat rendah.
PSB pula dilihat sebagai parti serpihan yang kecewa akibat persaingan kuasa ketika Presidennya berada dalam Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) sebelum ini. Keyakinan terhadap kepimpinan PSB di kawasan Gedong sangatlah rendah berdasarkan kajian setempat kerana PSB tidak ada jaminan untuk menang besar di peringkat negeri Sarawak.
Malah, PSB sukar bersaing dengan GPS di Gedong kerana kubu GPS sangat kukuh, lebih-lebih lagi apabila kawasan DUN Gedong ditandingi oleh Ketua Menteri Sarawak. Sudah tentulah parti PSB juga gerun berdepan dengan Ketua Menteri interim Sarawak.
Pemilihan berdasarkan rasional
Pengundi pada PRN Sarawak kali ini mempunyai rasional untuk mengundi. Rasional ini digunakan sebagai pertimbangan-pertimbangan sebelum membuat keputusan yang bersifat rasional. Kesemua tindakan dan pilihan dilihat bermotif, bersifat rasional dan menolak unsur-unsur bersifat tidak rasional.
Dalam konteks teori pilihan rasional, sudah tentu pengundi mahu semua kerajaan yang stabil, kuat dan dapat memastikan kesinambungan pembangunan yang berterusan. Rasional juga untuk memilih parti politik yang lebih memberikan sumbangan dan jasa kepada pengundi di Sarawak, khususnya dalam bentuk bantuan ketika pandemik Covid-19, mahupun parti politik yang lebih stabil. Sudah pasti tidak rasional untuk memilih calon-calon yang kurang dikenali yang tidak berlandaskan mana-mana parti yang belum lagi teruji.
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)