Pasukan wanita Chelsea melengkapkan trofi domestik untuk musim 2020/21 apabila Sam Kerr menjaringkan dua gol untuk menewaskan Arsenal 3-0 di hadapan lebih 40,000 penyokong di Wembley semalam.
Fran Kirby meletakkan Blues di hadapan seawal minit ketiga dan Chelsea mendominasi hampir keseluruhan perlawanan, mensia-siakan beberapa peluang sebelum Kerr menjaringkan dua gol dalam babak kedua.
Kemenangan itu melengkapkan treble untuk pasukan Emma Hayes, setelah memenangi gelaran Liga Super Wanita (WSL) musim lalu dan Piala Liga serta mara ke final Liga Juara-Juara UEFA Wanita buat kali pertama.
“Untuk menganggap kami adalah pemenang treble, ia adalah satu pencapaian yang menakjubkan,” kata Hayes. “Anda tidak boleh bertanya lagi daripada pemain dan saya amat berbangga dengan mereka, kakitangan dan kelab.
“Kami telah membina pasukan ini dalam tempoh yang lama dan saya fikir hari ini kami menunjukkan mengapa kami menjadi juara.”
Arsenal mendahului Chelsea dengan satu mata di puncak WSL musim ini selepas menewaskan mereka di Emirates pada hujung minggu pembukaan musim ini.
Bagaimanapun, The Gunners sentiasa mengejar permainan selepas Kerr melakukan hantaran kepada Kirby untuk merembat rendah melepasi Manuela Zinsberger dari tepi kawasan penalti.
Kerr menggandakan kelebihan Chelsea dengan penyudah kejam sejurus sebelum sejam dan melengkapkan jaringan dengan bergaya dengan penyudah cantik ke atas Zinsberger yang meluru keluar.
“Kami menghadapi perlwanan ini sebagai underdog jadi kami ada satu perkara untuk dibuktikan dan kami hebat,” kata pemain antarabangsa Australia, Kerr.
“Saya dibayar untuk menjaringkan gol tetapi pertahanan kami amat menakjubkan dan ia adalah usaha berpasukan dan saya tidak sabar untuk berpesta!” – AFP