Penggunaan tiang kayu Belian merupakan kaedah tradisional yang telah digunakan dan diwarisi oleh kebanyakan pekebun dan pengusaha lada sejak turun-temurun.
Bagaimanapun, hasil penyelidikan inovasi tiang sokongan lada yang dilakukan oleh para pegawai penyelidik Lembaga Lada Malaysia (MPB) ini mendapati kaedah ini bukan satu-satunya pilihan yang ada.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Datuk Willie Mongin berkata, para penyelidik juga telah menemui bahan dan alternatif lain yang praktikal untuk dijadikan sebagai tiang sokongan lada.
“Sumber kayu belian adalah semakin terhad, malah semakin berkurangan dan semakin sukar untuk diperolehi di hutan.
“Kayu belian tidak lagi ekonomik untuk digunakan dalam kuantiti yang banyak bagi penanaman lada. Malah, nilai harga kayu belian yang tinggi di pasaran merupakan salah satu punca kepada peningkatan kos bahan input pertanian, sekali gus menjadi faktor kekangan dan bebanan utama kepada para pekebun lada untuk bergerak lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Produk Hasil R&D: Manual Tiang Sokongan Lada dan Manual Varieti Lada di Malaysia.
Dalam hal ini, Willie menyatakan bahawa hasil penyelidikan MPB menerusi ‘Manual Tiang Sokongan Lada’ dijangka dapat menangani masalah tersebut.
“Ini adalah kerana pengisian manual tersebut dilihat dapat membimbing pekebun-pekebun baharu untuk mempraktikkan penggunaan tiang sokongan alternatif dalam tanaman lada.
“Antara lain, pekebun dan pengusaha lada kini boleh menghasilkan tiang sokongan lada secara Do It Yourself (DIY) bagi ‘Tiang Polyvinyl Chloride (PVC)’ dan ‘Tiang Bata Merah’ atau secara pembelian sendiri berdasarkan kepada cadangan MPB sama ada melalui ‘Tiang Seramik’ dan ‘Tiang Pultrusion’.
“Pun begitu, para pekebun lada harus sentiasa beringat dan mengambil kira tahap kemampuan kewangan, kesesuaian dan keadaan tanah dalam pemilihan jenis tiang sokongan yang boleh digunakan di kebun masing-masing,” jelasnya.
Ujarnya, buku manual ini bermanfaat untuk memberi pengetahuan dan idea baharu kepada para pengusaha lada mengenai pilihan dan jenis tiang sokongan lada yang boleh didirikan untuk projek tanaman lada mereka.
“Kedua-dua buku manual tersebut merupakan bukti dedikasi warga penyelidik Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) MPB yang telah bertungkus-lumus mengkaji dan mengenal pasti keberkesanan inovasi pelbagai jenis tiang sokongan alternatif serta memperkenalkan lapan jenis varieti lada yang terdapat di Malaysia,” katanya lagi.
Oleh JEAKQLEYN YACHO