PEMBENTUKAN dan pentadbiran kerajaan Raja Brooke bermula apabila James Brooke dilantik sebagai gabenor Sarawak pada tahun 1840. Pentadbiran beliau ini bersifat monarki yang mengikut aturan adat-adat Kesultanan Melayu.
Pemerintahan Raja Brooke ini ysng berlangsung selama 100 tahun itu, mempunyai tiga orang raja, iaitu Raja James Brooke, Raja Charles Brooke dan Raja Vyner Brooke. Dalam pemerintahan mereka ini juga tidak sunyi daripada isu penggantian.
Sejak pemerintahan Raja James Brooke, telah timbul isu penggantian. Beliau yang tidak beristeri dan tidak mempunyai anak membawa kepada persoalan siapakah yang menggantikan beliau. Malahan satu ketika, beliau menyerahkan pewarisan ini kepada seorang wanita kaya di London, iaitu Baroness Burdett-Coutts. Hal ini akhirnya berjaya diselesaikan apabila anak saudara beliau, iaitu Charles Brooke, diberi hak mewarisi takhta kerajaan Raja Brooke.
Sepanjang pemerintahan Raja Charles Brooke pula, timbul lagi isu penggantian kerana beliau tidak begitu memberi harapan kepada anak tuanya, iaitu Vyner Brooke, untuk memerintah. Atas sebab itu, beliau mengambil pendekatan untuk melantik anak kedua beliau, iaitu Betram Brooke, sebagai Tuan Muda, dan Vyner Brooke sebagai raja. Usaha ini dilakukan oleh Raja Charles Brooke untuk mewujudkan pemerintahan bersama dua adik-beradik ini.
Semasa pemerintahan Raja Vyner Brooke pula, isu penggantian menjadi lebih serius. Hal ini kerana ada usaha merajakan anak beliau menjadi raja tetapi tidak berjaya.
Adat Melayu
Berbicara tentang jawatan Tuan Muda ini, jawatan ini adalah sama dengan jawatan pengganti raja-raja Melayu, iaitu Raja Muda. Di Sarawak, Tuan Muda inilah yang akan menggantikan raja, jikalau raja tersebut meninggal dunia atau turun takhta kerajaan.
Masalah yang dihadapi oleh Raja Vyner Brooke dalam hal ini adalah beliau mempunyai tiga anak perempuan. Hasil perkahwinan beliau dengan Sylvia Brett telah melahirkan Leonora Margaret, Elizabeth dan Nancy Valerie.
Isteri Raja Vyner Brooke, iaitu Rani Sylvia mempunyai pemikiran berlainan tentang hal ini. Beliau mahu jurai keturunan beliau menjadi pengganti Raja Vyner Brooke. Oleh sebab kesemua anak beliau ialah perempuan, maka mengikut adat Melayu Sarawak ketika itu, hanya lelaki sahaja boleh mengganti ayahnya.
Walaupun sudah ada peraturan yang tidak bertulis ini, tetapi masih ada perancangan untuk merajakan waris Raja Vyner Brooke dari kalangan perempuan. Orang di belakang tabir dalam percaturan ini ialah Gerard MacBryan. Beliau merupakan salah seorang pegawai kerajaan Brooke dan mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Raja Vyner Brooke.
Tokoh Disebalik Tabir
MacBryan bersama-sama dengan Rani Sylvia merancang untuk menamakan Leonora sebagai pengganti ayahnya. MacBryan pula individu yang opportunis dan cuba mengambil peluang daripada isu ini untuk merancang mengahwini Leonora.
Jikalau rancangan ini Berjaya, beliau berharap akan dapat mengawal Leonora dan seterusnya memerintah Sarawak di belakang tabir. Dalam hal ini, beliau cuba memujuk Datu-datu Melayu untuk menyokong rancangan beliau ini.
MacBryan maklum bahawa pertabalan seorang perempuan sebagai raja pernah berlaku dalam Kesultanan Acheh. Di Acheh, selepas tahun 1641, terdapat empat orang pemerintah perempuan. Oleh sebab itu, beliau amat yakin bahawa usahanya ini akan mendapat sokongan.
Namun demikian, halangan utama rancangan beliau ini datangnya daripada Datu Bandar Abang Abdillah. Abang Abdillah merupakan pembesar utama Sarawak dan mempunyai pengaruh besar dalam pentadbiran kerajaan Brooke.
Abang Abdillah berpegang pada prinsip bahawa penganti raja haruslah dari kalangan orang lelaki. Sebarang usaha meletak perempuan sebagai penganti raja tidak mendapat sokongan daripada beliau.
Perancangan Awal
MacBryan menggunakan tektik scheme of things dalam menjayakan usaha ini. Pada tahun 1928, beliau telah memujuk Raja Vyner Brooke untuk memberi gelaran kepada beberapa pembesar Melayu, dan menaikkan status kepimpinan Datu Bandar Abang Abdillah.
Beliau juga memujuk Raja Vyner Brooke untuk mengiktiraf kepimpinan Ong Tiang Swee sebagai pemimpin yang dihormati. Perancangan MacBryan ini berjalan lancar. Raja Vyner Brooke mendengar nasihat beliau.
Pada hari keputeraan Raja Vyner Brooke, beberapa pemimpin Melayu diberi gelaran sebagai penghormatan kepada jasa dan khidmat yang mereka curahkan. Dalam hal ini, Abang Sulaiman diberi gelaran Datu Amar, manakala Mohd Zain pula mendapat gelaran Datu Menteri.
Seorang lagi pembesar Melayu iaitu Haji Hashim pula diberi gelaran Datu Bentara. Ong Tiang Swee pula diberi pingat The Most Excellent Order of the Star of Sarawak. Manakala Abang Abdillah pula dinaikkan status lebih tinggi dengan gelaran Datu Shahbandar.
Langkah seterusnya dilakukan oleh MacBryan membuat satu petisyen kepada Raja Vyner Brooke dalam soal penggantian raja. Rancangan ini adalah untuk membolehkan perempuan menjadi raja. Secara tidak langsung beliau berharap agar Leonora dan warisnya akan mendapat hak menggantikan ayahnya.
Beliau cuba mempengaruhi pembesar Melayu yang diberi gelaran ini untuk memujuk Raja Vyner Brooke untuk bersetuju dengan hal ini. Malangnya rancangan Mac Bryan ini gagal. Hal ini kerana Datu Shahbandar Abang Abdillah tidak termakan umpan politik digunakan oleh MacBryan ini. Beliau seorang yang berprinsip dan telah menolak rancangan tersebut.
Pengaruh Abang Abdillah ini ke atas Raja Vyner Brooke mengatasi rancangan MacBryan. Raja Vyner Brooke telah menyalahkan MacBryan atas pemainan politik beliau yang cuba memecah-belah pembesar Melayu ketika itu. Hal ini kerana rancangan MacBryan ini cuba melaga-lagakan pembesar Melayu dan melemahkan pengaruh Abang Abdillah.
MacBryan kemudiannya meletak jawatan dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri Sarawak. Beliau juga diminta oleh satu petisyen daripada pegawai pentadbir Brooke untuk tidak kembali ke Sarawak. Hal ini kerana beliau menimbulkan rasa tidak harmoni dalam kalangan pegawai-pegawai Brooke.
Beliau juga dikatakan cuba memikat Elizabeth dan kemudian anak Betram Brooke, iaitu Anne. Sikap beliau ini menyebabkan Raja Vyner Brooke akur untuk tidak membenarkan beliau untuk kembali ke Sarawak.
Percubaan Terakhir
Walaupun MacBryan gagal dalam rancangan ini dan meninggalkan Sarawak, tetapi usaha ini masih lagi belum padam. Rani Sylvia masih menyimpan harapan agar anaknya menjadi raja. Semasa di London, Rani Sylvia telah memaklumkan kepada surat khabar di sana tentang Raja Vyner Brooke melucutkan pewarisan takhta dari adiknya, iaitu Betram Brooke.
Beliau menambah bahawa Raja Vyner Brooke bersetuju menyerahkan pewarisan kerajaan ini kepada Leonora. Ketika itu Leonora telah berkahwin dengan Kenneth Mackay. Pasangan ini telah mendapat seorang cahaya mata lelaki bernama Simon Brooke Mackay. Kelahiran Simon ini memberi harapan kepada Rani Sylvia untuk mengekalkan jurai keturunan beliau sebagai pemerintah Sarawak.
Sementara itu berita yang dibawa oleh Rani Sylvia ini cuba disahkan oleh pihak wartawan dengan berjumpa dengan Rani Margaret. Rani Margaret, iaitu balu kepada Raja Charles Brooke dan ibu kepada Raja Vyner Brooke, menafikan berita tersebut.
Harapan Rani Sylvia ini hidup semula apabila Anthony Brooke yang dilantik menjadi Tuan Muda telah dilucutkan jawatan tersebut. Rani Sylvia kemudiannya cuba meneruskan usaha untuk menaikkan semula Leonora atau cucunya menjadi raja.
Usaha-usaha Rani Sylvia ini terhenti apabila meletusnya Perang Dunia Kedua. Selepas Perang Dunia Kedua pula, Raja Vyner Brooke turun takhta Kerajaan Sarawak dan menyerahkan Sarawak kepada British.
Dr. Suffian Mansor ialah Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.