DALAM kesibukan dan keriuhan bandar yang padat dengan rutin harian, terselit kedamaian hidup masyarakat yang tinggal berhampiran di kawasan luar bandar.
Tidak terikat ataupun dikekang kerana tuntutan komitmen, demikianlah jalan kehidupan mereka yang lebih memilih untuk tinggal di kampung halaman daripada berhjirah ke dunia luar sepert kebanyakan orang.
Di sepanjang jalan menuju ke Daerah Sebauh yang terletak tidak jauh dari pusat bandar Bintulu, gerai kecil tepi jalan adalah satu pemandangan biasa yang disajikan kepada para pengunjung.
Bagi sesetengah orang, ia pasti menimbulkan rasa nostalgia sekali gus mengubat rasa rindu serta penat lelah untuk seketika melupakan masalah dunia.
Antara jualan di gerai-gerai tepi jalan adalah hasil tani kampung yang mana ia merupakan salah satu aktiviti ekonomi utama bagi masyarakat kampung atau rumah panjang.
Lucas Julong, 47, salah seorang petani yang berniaga di simpang Tissay berkata, kebiasaanya mereka berjual dari pagi sehingga hasil tani yang diambil pada hari tersebut habis.
“Selalunya kami akan bermula pada awal pagi setelah mengutip hasil tanaman di kebun dan hanya akan berhenti apabila semuanya habis dibeli tapi kadang-kadang kami akan pergi lagi mengambil sayur kalau jualan pagi itu habis awal.
“Kebanyakan yang berniaga di sini tinggal di rumah panjang berhampiran, jadi kami berjalan kaki sahaja untuk ke sini. Memang lebih mudah kalau dibandingkan berniaga di Pekan Sebauh,” katanya.
Tambahnya, jumlah pembeli juga agak memuaskan memandangkan jalan tersebut sememangnya dilalui oleh ramai pendudu kerana banyak rumah panjang di kawasan tersebut.
“Lebih-lebih lagi kalau hujung minggu, memang ramai yang lalu di sini apabila mereka pulang untuk menjenguk rumah panjang.
“Jadi pada masa itu juga, jualan pun banyak di atas meja ini sebab semua orang (peniaga) turun sekali,” ujarnya.
Sementara itu, Sebi Langut, 63, berkongsi sedikit sebanyak mengenai sebab sayur-sayuran di sekitar kawasan itu ditanam berdekatan dengan jalan.
“Di sini, seperti yang kita dapat lihat, ramai lebih memilih untuk bercucuk tanam di tepi jalan kerana ia sangat berkesan menghalau serangga atau haiwan bahkan orang yang berniat hendak mencuri
“Sebab pernah juga ada kes curi yang mana ia melibatkan jumlah yang agak,” jelasnya.
Menurut Sebi, gerai-gerai di simpang tersebut sudah hampir tiga tahun beroperasi sejak mereka mula bertapak di sana.
Harga yang ditetapkan amat berpatutan dan lebih murah sehingga ada segelintir individu yang datang memborong sayur-sayuran sama ada untuk kegunaan atau dijual semula.
Oleh CAROLYNE UTIH