SIBU: Singapura berminat untuk mengimport gula apong dalam kuantiti yang besar dari Sarawak bagi tempoh tiga tahun.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk tujuan tersebut satu perjanjian telah ditandatangani dengan sebuah syarikat tempatan baru-baru ini.
“Di sini saya ingin memberitahu anda semua, pada bulan lepas pejabat kita di Singapura iaitu STATOS (Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak, Singapura) memberitahu rupa-rupanya orang Singapura hendak mengimport gula apong.
“Ini bermakna, gula apong kita dieksport ke Singapura selama tiga tahun. Mesti selepas tiga tahun akan bertambah. Gula apong dihasilkan daripada nila apong yang banyak di tepi sungai di Mukah, Saribas dan Igan,” jelasnya semasa berucap merasmikan Showcase Usahawan Sibu di Dewan Kompleks Islam Sarawak Sibu, petang semalam.
Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu turut meminta Centre Of Technical Excellence Sarawak (CANTEXS) menggunakan teknologi baharu untuk mendapatkan gula apong.
“Dari situ kita mendapat kualiti gula apong, kita keluarkan gula apong yang premium dan kita jual dengan harga yang tinggi di Singapura.
“Usahawan mesti melihat peluang ini dan mencari jalan bagaimana hendak membangunkannya,” ujarnya.
Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu turut memberitahu, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinannya sentiasa menerokai bidang-bidang baharu yang dapat memberi kesan positif ke atas ekonomi negeri ini.
“Pada masa sama, golongan muda boleh mengambil bahagian dari sudut produk dan perkembangan yang baharu berteraskan kepada ekonomi digital.
“Kita di Sibu ada Dr Annuar yang banyak idea-idea baharu. Sebab itu saya minta dia tolong dari sudut penyelidikan,” ujarnya lagi.
Turut hadir, penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka Dr Annuar Rapa’ee, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Datu Sr. Zaini Mahdi dan tetamu kehormat yang lain.
Oleh AKUN GIMAN