INTER Milan mengukuhkan usaha untuk mempertahankan kejuaraan Serie A mereka semalam dengan kemenangan 3-2 yang menarik ke atas Napoli yang menyebabkan mereka berada empat mata di belakang pendahulu liga.
Skuad kendalian Simone Inzaghi bangkit daripada jaringan awal Piotr Zielinski untuk merapatkan jurang ke atas Napoli dan AC Milan, yang tewas 4-3 di Fiorentina pada hari Sabtu, dalam pertemuan mendebarkan di San Siro.
Hakan Calhanoglu menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada pertengahan separuh masa pertama.
Tandukan Ivan Perisic sejurus sebelum rehat dan penyudah pintar Lautaro Martinez menerusi serangan balas Joaquin Correa memastikan tiga mata dan menjadikan perlumbaan kejuaraan tiga penjuru lebih menarik.
Napoli, yang turut menjaringkan gol menerusi Dries Mertens ketika perlawanan berbaki 11 minit, kehilangan rekod tanpa kalah mereka dalam liga seperti yang dilakukan kepada Milan di Florence selepas Samir Handanovic bertindak cemerlang menafikan tandukan Mario Rui dalam masa kecederaan.
Felix Afena-Gyan memastikan Andriy Shevchenko memulakan tugas beliau sebagai jurulatih Genoa kekalahan setelah pemain gantian remaja itu menjaringkan kedua-dua gol dalam kemenangan 2-0 Romadi Riviera Itali.
Golnya, yang pertama oleh pemain Serie A yang dilahirkan pada 2003, melonjakkan Roma ke tangga kelima, tiga mata di belakang Atalanta di tempat terakhir kelayakan ke Liga Juara-Juara.
Terdahulu, David Okereke menjaringkan gol tunggal untuk membolehkan Venezia menang mengejut 1-0 di Bologna semalam, kemenangan kedua mereka yang mengagumkan dalam dua perlawanan Serie A.
Penyerang dari Nigeria, Okereke, yang dipinjamkan ke Venezia yang dinaikkan ke Serie A daripada kelab Belgium, Club Brugge, menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-61 untuk melonjakkan Venezia ke tangga ke-13 dan enam mata di atas zon penyingkiran.
Gol liga keempat musim ini oleh pemain berusia 24 tahun itu memberikan pasukan Paolo Zanetti kemenangan mengejut kedua berturut-turut selepas turut menewaskan Roma sebelum rehat untuk perlawanan antarabangsa. – AFP