THE HAGUE: Puluhan ribu penduduk mengadakan tunjuk perasaan di sekitar bandar di seluruh Eropah dan Australia bagi membantah sekatan Covid-19 yang dikuatkuasakan.
Kemarahan penduduk memuncak terhadap sekatan baharu Covid-19 yang dilaksanakan akibat pandemik kembali melanda.
Polis di Belanda berdepan malam kedua rusuhan, kali ini di The Hague selepas keganasan berlaku pada malam sebelumnya di bandar pelabuhan Rotterdam.
Pertempuran tercetus sehari selepas protes aman diadakan di beberapa tempat lain di Belanda.
Dalam rusuhan baharu di The Hague, penunjuk perasaan melemparkan batu dan bunga api ke arah polis serta membakar basikal.
Polis yang dilengkapi dengan peralatan rusuhan cuba meredakan kumpulan penunjuk perasaan dan meriam air digunakan untuk memadamkan sejumlah basikal yang terbakar.
Dilaporkan, lima anggota polis cedera dan sekurang-kurangnya tujuh penunjuk perasaan ditahan.
Rusuhan juga meletus di tengah bandar Urk dan beberapa bandar di selatan wilayah Limburg.
Menurut laporan media Belanda, penunjuk perasaan juga mengganggu dua perlawanan bola sepak yang dianjurkan secara tertutup akibat sekatan Covid-19.
Kekacauan itu berlaku sehari selepas polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di Rotterdam.
Sekurang-kurangnya tiga orang cedera dan 51 ditahan di Rotterdam.
Eropah ketika ini berdepan gelombang baharu jangkitan dengan beberapa negara sudah mengetatkan sekatan termasuk Austria mengenakan perintah berkurung separa di seluruh negaranya.
Langkah itu dilihat sebagai sekatan paling dramatik di Eropah Barat selama beberapa bulan.
Minggu lalu, Belanda kembali melaksanakan sekatan pergerakan selama tiga minggu bagi membendung penularan Covid-19 dengan melarang individu belum menerima suntikan vaksin memasuki beberapa lokasi yang digelar sebagai 2G.
Ribuan penunjuk perasaan yang berang dengan langkah baharu kerajaan berhimpun di Amsterdam.
Ribuan lagi pula berarak di sepanjang bandar Breda berhampiran sempadan Belgium dengan membawa sepanduk tertera slogan ‘tiada perintah berkurung’.
Menurut penganjur, Joost Eras, mereka menentang rancangan Perdana Menteri, Mark Rutte untuk mengecualikan individu belum divaksin daripada memasuki bar dan restoran.
“Rakyat mahu hidup dan atas sebab itulah kita berada di sini. Kami bukan perusuh sebaliknya kami hadir secara aman,” katanya.
Di Austria, kira-kira 400,000 penduduk melakukan protes di tengah Vienna berhampiran Canselori berikutan gesaan parti berhaluan kanan FPO.
Penunjuk perasaan membawa sepanduk yang mengecam ‘pemerintahan diktator korona’ dan menyelar ‘perpecahan masyarakat’.
“Ini bukan perkara biasa dan kerajaan merampas hak kami,” kata seorang guru, Katarina Gierscher, 42, yang melakukan perjalanan selama enam jam untuk menghadiri protes itu.
Sejumlah penunjuk perasaan turut mengenakan bintang berwarna kuning yang tertera perkataan ‘belum divaksin’ pada pakaian mereka.
Simbol bintang kuning itu dikaitkan dengan masyarakat Yahudi yang dipaksa memakai lencana ‘bintang Yahudi’ semasa era Nazi.
Bermula hari ini, seramai 8.9 juta warga Austria tidak dibenarkan keluar dari rumah kecuali untuk bekerja, membeli barangan keperluan dan bersenam.
Sekatan itu akan dilaksanakan selama 20 hari dengan penilaian dibuat selepas 10 hari dan suntikan vaksin Covid-19 di negara Alpine itu akan diwajibkan bermula 1 Februari tahun depan.
Ribuan penunjuk perasaan turut berarak di Zagreb, Croatia manakala di Denmark, kira-kira 1,000 orang membantah rancangan kerajaan untuk mengenakan semula pas Covid-19 bagi penjawat awam yang akan bekerja.
Sementara itu, di Australia, kira-kira 10,000 penduduk berarak di Sydney dan beberapa protes diadakan di beberapa bandar utama lain bagi membantah keputusan kerajaan negeri menggunakan mandat vaksin terhadap pekerja tertentu. – AFP