THE HAGUE: Rusuhan baharu tercetus lewat Sabtu lalu berikutan langkah Covid-19 kerajaan Belanda dengan perusuh membaling batu dan bunga api ke arah polis dan membakar basikal ketika protes bertukar menjadi ganas untuk malam kedua di Belanda.
Pegawai yang memakai peralatan rusuhan menyerbu kumpulan penunjuk perasaan di The Hague, manakala meriam air digunakan untuk memadamkan api di persimpangan yang sibuk. Polis meronda dengan menunggang kuda dan berbasikal.
Polis menahan beberapa orang di kawasan kejiranan kelas pekerja di bandar itu selepas satu hari protes di tempat lain di negara itu yang kebanyakannya aman dan disaksikan oleh wartawan AFP
Tetapi, suasana berubah lewat Sabtu lalu dengan kumpulan pemuda melontar pegawai di The Hague dan juga di tengah Bandar Urk, serta bandar di Wilayah Limburg selatan, kata penyiar awam, Yayasan Penyiaran Belanda (NOS).
“Orang-orang di sini memprotes tentang 2G (sekatan ke atas yang tidak divaksinasi) dan penutupan,” kata pemilik kedai piza Hague, Ferdi Yilmaz ketika meninjau kerosakan di kedainya.
“Mereka marah mengenainya,” kata Yilmaz, yang menambah polis menyeret orang keluar dari kedainya dan memukul kepalanya tanpa sebab.
Pada malam Jumaat lalu, sekurang-kurangnya dua orang cedera selepas polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan dan 51 telah ditangkap selepas keganasan besar-besaran di Rotterdam.
Belanda kembali ke penutupan separa pertama di Eropah Barat pada musim sejuk Sabtu lalu dengan sekurang-kurangnya tiga minggu sekatan dan kini merancang untuk melarang orang yang tidak divaksinasi daripada memasuki beberapa tempat yang dipanggil pilihan 2G.
Terdahulu, beberapa ribu penunjuk perasaan marah dengan langkah terbaharu yang diadakan di Amsterdam pada Sabtu lalu, walaupun satu kumpulan telah membatalkan perhimpunan mereka kerana keganasan pada malam sebelumnya.
Ribuan lagi berarak melalui bandar selatan Breda berhampiran sempadan Belgium, membawa sepanduk dengan slogan seperti ‘Tiada Pengurungan’.
Penganjur berkata, mereka menentang rancangan Perdana Menteri Mark Rutte untuk mengecualikan yang tidak divaksinasi dari bar dan restoran.
“Orang ramai mahu hidup, itulah sebabnya kami berada di sini. Tetapi, kami bukan perusuh. Kami datang dengan aman,” kata penganjur, Joost Eras.
Demonstrasi terbaharu berikutan pergolakan Rotterdam yang mana polis berkata, mereka telah melepaskan tembakan amaran dan menyasarkan serta menggunakan meriam air.
“51 orang telah ditangkap semasa gangguan besar pada petang dan malam Jumaat di Coolsingel (jalan) di Rotterdam. Kira-kira separuh daripada mereka di bawah umur,” kata polis Rotterdam dalam ciapan di Twitter. -AFP