SIBU, 29 Nov: Program Jualan Agro MADANI mencatatkan nilai jualan melebihi RM79 juta dengan penjimatan kira-kira RM25 juta kepada pengguna di seluruh negara setakat ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebanyak 4,436 program telah dilaksanakan daripada sasaran 5,000 program di seluruh negara bagi tahun ini.
Menurutnya, pelaksanaan program itu turut melibatkan 54,592 usahawan dengan jumlah kehadiran mencecah 4.6 juta pengunjung.
Beliau berkata, pengguna menikmati penjimatan antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan yang ditawarkan berbanding harga pasaran biasa.
“Ini merupakan antara usaha kita membantu golongan B40, termasuk kakitangan kerajaan negeri dan Persekutuan, mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Jualan Agro MADANI di Pasar Sentral Sibu sempena Jelajah Semarak Tani Sarawak 2026, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu berkata, program berkenaan tidak boleh diadakan setiap hari di lokasi sama bagi mengelakkan kesan terhadap perniagaan peniaga lain.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk mencari penyelesaian terhadap isu harga beberapa barangan makanan yang lebih tinggi berbanding Semenanjung Malaysia.
Katanya, harga sayur-sayuran di Sarawak secara umumnya masih berpatutan, malah ada kalanya lebih rendah berbanding Semenanjung, namun harga ayam, telur dan daging didapati lebih tinggi.
“Kita akan berusaha bersama kerajaan negeri mencari penyelesaian, khususnya bagi mengurangkan harga daging pada masa akan datang,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Clarence Ting dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.
Oleh Akun Giman




