MUKAH: Langkah ‘Pre-emptive’ yang diambil Ketua Menteri Sarawak melalui 9 Strategi Post Covid-19 sehingga tahun 2030 dianggap sebagai tepat.
Ia adalah berasaskan Ekonomi Digital dan Kelestarian Alam Sekitar (Digital Economy and Environmental Sustainability) di bidang Pertanian Komersial, Pembuatan, Perlombongan, Peladangan Industri Kehutanan, Pelancongan, Perkhidmatan, Pusat Data dan Inovasi, Tenaga Boleh Diperbaharui, dan Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Yussibnosh Balo, semua ini memerlukan pandangan dari pelbagai stakeholders yang melibatkan sektor perniagaan, profesional, ahli akademik dan lain-lain.
Katanya, hidup dan kehidupan perlu dirancang secara selari dan untuk terus hidup kita perlu memberi perhatian yang serius kepada tahap dan penjagaan kesihatan.
“Untuk meneruskan kehidupan pengwujudaan ekonomi dalam pelbagai sektor perlu diambilkira untuk memastikan kemajuan dan pembangunan fizikal berterusan. Kerjasama dikalangan semua lapisan masyarakat diperlukan untuk mewujudkan kelestarian hidup dan kehidupan,” ujarnya.
Dari peristiwa yang berlaku semasa menangani Covid-19, tambah Yussibnosh, kita mengakui bahawa negeri ini tetap bersiap sedia dalam segala kemungkinan yang akan berlaku.
“Bahkan sebelum ini, Penyakit Rabies pun berjaya ditangani oleh kerajaan negeri dan kita percaya kerajaan negeri pun sudah bersedia untuk ke arah itu,” kata Yussibnosh.
Menyentuh mengenai pembangunan dan sektor ekonomi di kawasanya dan Mukah, amnya, dia menamakan pelbagai sektor yang sediada di sini.
“Sebagai wakil rakyat dari kawasan pekan kecil yang pesat membangun seperti Mukah kita perlu mengambil pendekatan untuk mengambil peluang memperkasakan sektor yang sedia ada di sini iaitu perikanan, pertanian, industri pembuatan (Aluminium), perlombongan (arang batu), perladangan, pelancongan dan pendidikan serta pembangunan sumber manusia melalui pusat-pusat latihan yang sedia ada,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berpendapat bahawa industri rumbia perlu diperkasakan dari segi mengaplikasikan teknologi moden dalam pengeluarannya.
“Industri rumbia yang ada di sini perlu diperkasakan dari segi teknologi pengeluaran dan mencari alternatif untuk membantu pekebun-pekebun kecil rumbia sebab Mukah terkenal dengan pusat pengeluaran tepung sagu pada suatu ketika. Mempelbagaikan hasil dari rumbia dan perikanan juga perlu diutamakan untuk meletakkan industri tertua di kawasan ini berkenaan ke tahap yang tertinggi mungkin,” katanya dengan penuh harapan.
(Sembilan strategi Post Covid-19 sehingga tahun 2030 yang berasaskan Digital Economy and Environmental Sustainability: 1. Commercial Agriculture, 2. Manufacturing, 3. Mining, 4. Industrial Forest Plantation, 5. Tourism, 6. Services, 7. Data Centre & Innovation, 8. Renewable Energy, 9. Education & Human Capital Developments)