MySP AI bantu kesan perubahan emosi pelajar

Facebook
WhatsApp
KETUA Pegawai Eksekutif MySP.AI Hafez Shuriddin (dua, kiri) dan Ketua Perhubungan Kerajaan Touch 'n Go Digital (TNGD) Tengku Sofiah Aishah (tiga, kiri) bergambar pada Majlis Pertukaran Dokumen antara TNGD dan MySP AI sempena Program Pengaktifan MySP TNGD Jaringan Keselamatan Anak Anda di Sekolah Kebangsaan Sheikh Idris Al-Marbawi di sini pada 25 November. Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR, 26 November: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi sistem MySP AI menawarkan pendekatan baharu bagi membantu pihak sekolah mengenal pasti perubahan tingkah laku dan emosi pelajar sebagai langkah awal dalam memantau kesejahteraan mental mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MySP AI Hafez Shuriddin berkata keupayaan itu disokong oleh rekod aktiviti dan kehadiran yang boleh dijadikan petunjuk kepada ibu bapa serta guru dalam menilai perkembangan pelajar dari semasa ke semasa.

“Melalui teknologi pengecaman wajah, sistem ini bukan sahaja merekodkan kehadiran pelajar, malah membolehkan perubahan ekspresi wajah seperti kelihatan muram atau sedih dikenal pasti sebagai petunjuk awal yang memerlukan perhatian.

“Pengesanan awal membolehkan ibu bapa dan guru mengambil tindakan susulan dengan lebih pantas, sekali gus membantu mengurangkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini yang melibatkan pelajar,” katanya.

SEORANG murid menjalani proses pengecaman wajah sempena Program Pengaktifan MySP Touch ‘n Go Digital (TNGD) Jaringan Keselamatan Anak Anda di Sekolah Kebangsaan Sheikh Idris Al-Marbawi di sini pada 25 November. Foto BERNAMA

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pengaktifan MYSP TNGD Jaringan Keselamatan Anak Anda di Sekolah Kebangsaan (SK) Sheikh Idris Al-Marbawi, di sini, semalam.

Terdahulu, Hafez yang mewakili MySP AI bersama Ketua Perhubungan Kerajaan Touch ‘n Go Digital (TNGD) Tengku Sofiah Aishah Tengku Mahmood menyempurnakan pertukaran dokumen persefahaman bagi memeterai kerjasama antara kedua-dua pihak untuk mengintegrasikan kemudahan pembayaran digital Touch ‘n Go eWallet ke dalam sistem MySP AI.

Mengulas kaedah pengoperasian sistem itu, Hafez berkata imej wajah pelajar dirakam menggunakan kamera telefon pintar sebelum diproses menerusi teknologi pengecaman wajah bagi mengesahkan identiti dan merekodkan kehadiran mereka ke sekolah.

Beliau berkata data kehadiran yang diperoleh akan dianalisis bagi menjana laporan berkaitan profil kehadiran, disiplin, sahsiah serta penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti.

“Kebiasaannya, proses pengecaman wajah dilakukan di pintu masuk utama sekolah dan hanya mengambil masa antara satu hingga 1.5 saat dengan jarak pengesanan sehingga empat meter, sekali gus melancarkan urusan merekodkan kehadiran pelajar.

KETUA Pegawai Eksekutif Yayasan Didik Negara Mohd Nasrul Khairi (kanan) melihat demonstrasi teknologi pengecaman wajah sempena Program Pengaktifan MySP Touch ‘n Go Digital (TNGD) Jaringan Keselamatan Anak Anda di Sekolah Kebangsaan Sheikh Idris Al-Marbawi di sini pada 25 November. Foto BERNAMA

“Semua maklumat termasuk rekod kehadiran, disiplin dan amalan baik pelajar boleh disemak secara langsung oleh ibu bapa serta guru menerusi Sistem Pengurusan Pendidikan Bersepadu (MOEIS),” katanya.

Hafez berkata sejak diperkenalkan dua tahun lepas, sistem berkenaan telah digunakan di 194 sekolah dan memanfaatkan kira-kira 55,000 pelajar di seluruh negara.

Mengulas kerjasama dengan TNGD, beliau berkata inisiatif itu bertujuan memperluas penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai dengan membolehkan pelajar membuat pembelian di kantin sekolah menerusi teknologi pengecaman wajah yang dipautkan terus kepada akaun e-dompet ibu bapa.

Beliau berkata kemudahan itu bukan sahaja melancarkan urusan harian pelajar, malah mengurangkan risiko kehilangan wang saku kerana mereka tidak perlu membawa wang tunai atau telefon pintar ke sekolah.

“Menerusi kerjasama sulung ini juga, ibu bapa dapat memantau rekod perbelanjaan harian serta keselamatan anak-anak di sekolah secara langsung dengan lebih mudah dan telus,” katanya. – Bernama