KUALA LUMPUR, 26 November: Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis walaupun prestasi Wall Street semalaman bercampur-campur menjelang cuti Hari Kesyukuran di Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.44 mata kepada 1,567.73 daripada 1,562.29 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 0.86 mata kepada 1,563.15.
Pasaran secara menyeluruh positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 232 berbanding 147 manakala 212 kaunter tidak berubah, 2,278 tidak diniagakan dan 141 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 194.85 juta unit bernilai RM90.93 juta.
Apex Securities Bhd memaklumkan Nasdaq Composite menurun 0.62 peratus kepada 23,585.80 dan S&P 500 merosot 0.25 peratus kepada 7,182.78.
“Wall Street ditutup bercampur-campur apabila pelabur menilai cadangan tarif baharu AS yang menyasarkan China dan rakan dagang lain, selain data inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) bagi Oktober yang lebih tinggi daripada jangkaan, dengan inflasi teras pada 3.3 peratus.
“Bagaimanapun, Dow Jones Industrial Average meningkat 0.33 peratus kepada 50,182.95, disokong oleh peralihan kepada saham yang mempunyai nilai menarik,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Apex Securities menjangka FBM KLCI tidak menentu serta menunjukkan corak dagangan yang lebih selektif dan tumpuan kepada saham tertentu.
Ini didorong oleh tekanan jualan semula terhadap saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) di pasaran global, ketidaktentuan berhubung cadangan tarif Seksyen 301 AS terhadap Malaysia dan rakan dagang lain serta data inflasi AS yang lebih tinggi daripada jangkaan membawa kepada sentimen mengelak risiko dalam kalangan pelabur di pasaran serantau.
“Perkembangan ini terus mempengaruhi saham teknologi Malaysia dan syarikat yang terlibat dalam infrastruktur berkaitan AI,” menurutnya.
Sementara itu, Apex Securities memaklumkan musim pengumuman keputusan kewangan bagi suku ketiga 2026 pada masa ini dan pengembangan berperingkat FBM KLCI daripada 30 konstituen kepada 50 konstituen berpotensi membuka peluang dagangan kepada saham tertentu.
Menurutnya, sektor perbankan, penjagaan kesihatan dan pengguna, selain saham yang menawarkan kadar dividen tinggi, dijangka mendapat manfaat daripada aktiviti belian saham pada harga rendah oleh pelabur domestik, terutamanya saham bersifat defensif.
“Sebaliknya, sektor teknologi dijangka terus berdepan tekanan sehingga Khamis berikutan jualan saham AI pada peringkat global, selain cadangan tarif baharu AS dan isu semasa berkaitan Biro Industri dan Keselamatan (BIS) yang belum selesai melibatkan pusat data tempatan, mengatasi tarikan belian saham pada harga rendah dalam tempoh terdekat,” menurutnya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank menambah lima sen kepada RM 4.60, CIMB naik tujuh sen kepada RM7.19, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare, masing-masing meningkat dua sen kepada RM12.44 dan RM7.91 manakala Maybank mendatar pada RM10.16.
Dalam dagangan aktif, Yes Group Management yang mula disenaraikan di Pasaran ACE dan Tanco, masing-masing naik setengah sen kepada 18.5 sen dan 15 sen, Big Caring Group menambah dua sen kepada RM1.17, Nexg Bina menurun setengah sen kepada 3.5 sen manakala NWE Resources Group mendatar pada 18 sen.
Kaunter paling untung ialah Nestle meningkat 90 sen kepada RM95.02, Batu Kawan naik 50 sen kepada RM19.50, Petronas Dagangan menambah 32 sen kepada RM19.54, Hengyuan Refining Company dan PPB Group, masing-masing menokok 31 sen kepada RM2.98 dan RM8.73.
Kaunter paling rugi ialah Kuala Lumpur Kepong menurun 26 sen kepada RM20.80, Malaysian Pacific Industries merosot 10 sen kepada RM35.70, Telekom Malaysia berkurangan tujuh sen kepada RM7.56 serta MN Holdings dan Pekat Group, masing-masing menyusut lima sen kepada RM2.66 dan RM2.08.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 39.10 mata kepada 11,521.02, Indeks FBM Top 100 naik 37.64 mata kepada 11,371.10, Indeks FBM ACE menambah 12.16 mata kepada 4,651.05, Indeks FBM Emas Shariah menokok 22.26 mata kepada 11,317.64 dan Indeks FBM Mid 70 naik 45.59 mata kepada 16,106.08.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan menambah 30.01 mata kepada 8,733.84, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 79.53 mata kepada 18,629.98, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.55 mata kepada 159.50 dan Indeks Tenaga menokok 6.54 mata kepada 742.14.- Bernama




