SIMANGGANG, 24 November: Seorang guru sekolah rendah, Wong Fei Sing, dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 60 tahun dan 160 sebatan selepas didapati bersalah atas 64 pertuduhan berkaitan kesalahan seksual terhadap lapan kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.
Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Sri Aman, Iris Awen Jon, selepas meneliti keseluruhan pertuduhan serta faktor pemberat dan mitigasi dalam kes berkenaan.
Daripada keseluruhan 64 pertuduhan, sebanyak 22 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, manakala 23 pertuduhan mengikut Seksyen 5 akta sama.
Sebanyak 14 lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10 akta berkenaan, empat pertuduhan mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Mahkamah menjelaskan bahawa jumlah keseluruhan hukuman penjara bagi semua pertuduhan adalah 260 tahun.
Bagaimanapun, hukuman penjara itu diperintahkan berjalan secara serentak, menjadikan tempoh pemenjaraan yang perlu dijalani tertuduh selama 60 tahun bermula dari tarikh reman.
Dalam menentukan hukuman, mahkamah mengambil kira peruntukan Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, selain faktor pemberat dan mitigasi yang terdapat dalam kes tersebut.
Mahkamah turut menegaskan bahawa hukuman yang dikenakan, khususnya hukuman sebatan, adalah tertakluk kepada peruntukan mandatori undang-undang, dengan bilangan sebatan ditetapkan pada kadar minimum yang dibenarkan bagi pertuduhan berkaitan.
Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh tahanan berdasarkan Seksyen 26 akta berkenaan.
Tertuduh juga perlu menjalani pengawasan selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman penjara, selaras dengan Seksyen 27 akta sama.
Sebanyak 160 sebatan turut dikenakan terhadap tertuduh, dengan pelaksanaannya tertakluk kepada peruntukan Kanun Tatacara Jenayah dan undang-undang berkaitan.
Mahkamah menjelaskan bahawa pelaksanaan sebatan tidak boleh melebihi had maksimum yang dibenarkan undang-undang, iaitu 24 sebatan di bawah Seksyen 288 Kanun Tatacara Jenayah.
Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jonathan Lim Hsi How, manakala Wong diwakili peguam Boston Ho dan Clement Hii.
Kes berkenaan mencerminkan keseriusan mahkamah dalam menangani kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak, khususnya apabila mangsa terdiri daripada golongan bawah umur yang memerlukan perlindungan undang-undang sewajarnya.
Oleh Adi Safarman




