KUCHING: Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) 2 kini kembali memeriahkan industri seni dan budaya tempatan di peringkat antarabangsa setelah acara pertamanya berlangsung pada 2019 di negeri ini.
Festival anjuran International Music House (IMH) dan ditaja oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan (MTAC) Sarawak akan diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 20 dan 21 November ini.
Menurut Menteri MTAC Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, festival berkenaan akan menghidupkan semula sekali gus menyerlahkan bidang muzik dan seni yang dinamik di persada dunia dengan membawa komuniti di seluruh dunia bersama-sama.
“Ia termasuk penari, konduktor, koir, penyanyi dan artis terkenal dari pelbagai bahagian dunia dengan menampilkan konsert secara langsung yang terbahagi kepada dua bahagian,” katanya pada sidang media SIFMA 2 di Dewan Mesyuarat Mulu, Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.
Jelas Karim, bahagian pertama akan membawa Sarawak ke pentas dunia merangkumi jalan cerita perjalanan muzik ke SIFMA daripada semua komuniti etnik utama di Sarawak.
Pada SIFMA itu nanti, ia akan melibatkan persembahan dari Sarawak iaitu Ensemble Cina Sarawak diketuai Pengarah Akademi Muzik dan Seni Kenwy di Kuching, Kenwy Ho Khong Wee serta persembahan Seni Karya Terindah di Kuching, sebuah kumpulan tarian seni dan budaya yang terdiri daripada penari dari Sarawak.
“Selain itu turut penonton turut disajikan dengan persembahan daripada Syarikat Tarian Russell dan Randell di Kuching yang diasaskan oleh personaliti tarian Sarawak – Russell Lim Jian Liang, Randell Lim Xiu Zhen dan Cindy Chung Sin Yee.
“Bahagian kedua pula akan membawa seluruh dunia ke Sarawak dan akan menampilkan penghibur terbaik dalam muzik dan tarian termasuk penari Balet Bolshoi yang terkenal dari Rusia, konduktor pemenang anugerah Suc Song Moi Ensemble, penyanyi dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) iaitu Quang Vinh Dong, kumpulan budaya Visayan dari Filipina dan banyak lagi,” ujarnya.
Ujar Karim, SIFMA 2 juga akan mewujudkan sebuah forum berterusan yang dipanggil “Let’s Talk” menampilkan kisah inspirasi dan nasihat daripada profesional dan peminat dalam komuniti muzik dan seni.
Tambahnya, forum seterusnya pula iaitu ‘Be a Host’ akan menjemput penonton untuk menikmati pameran maya secara langsung festival itu bersama-sama rakan dan keluarga secara maya di mana-mana sahaja.
“Acara maya pada 21 November akan disiarkan secara langsung di lokasi yang berbeza bukan sahaja di Sarawak, tetapi di Malaysia dan seluruh dunia melalui rakan-rakan sekali gus membantu menarik orang ramai dan menjana pendapatan untuk mereka.
“Acara hibrid dua hari itu akan dipersembahkan secara langsung di DUN dan strim langsung melalui Facebook dan YouTube (@sifmaofficial) pada 20 dan 21 November pada jam 7.30 malam, dengan pertunjukan maya pada 21 November dari 5.00 petang hingga 7.00 malam,” ujarnya.
Untuk rekod, SIFMA telah menerima 10,000 pendaftaran untuk acara itu setakat ini dan bagi yang ingin mendaftarkan diri boleh mendaftar melalui pautan http://www.sifma.com.my/register.php#.
Oleh SYAMIMI HUSNA