KPM akan tambah baik sistem pembesar suara di sekolah

Facebook
WhatsApp
Foto janaan AI

SEPANG, 24 November: Kemudahan sistem pembesar suara (PA) di sekolah seluruh negara akan dinaik taraf bagi memastikan kualiti audio lebih baik ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Mohd Azam Ahmad berkata cadangan itu sudah dikemukakan dan akan dibawa semula kepada Pengarah Lembaga Peperiksaan untuk tindakan lanjut.

“Insya-Allah, saya sudah mencadangkan satu peruntukan yang besar untuk membantu sekolah bagi memantapkan sistem PA ini. 

“Memang sudah ada (cadangan peruntukan), tapi jumlah yang amat besar untuk kita berikan kepada sekolah-sekolah kita bagi memantapkan (prasarana) supaya isu-isu ini tidak lagi berulang,” katanya pada Sesi Taklimat Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan dakwaan berlaku masalah teknikal ketika Ujian Mendengar Bahasa Melayu bagi peperiksaan SPM 2026. 

Baru-baru ini, pengguna media sosial di platform Threads mendakwa audio ujian berkenaan tersekat-sekat hingga menjejaskan kelancaran calon menjawab peperiksaan.

Lembaga Peperiksaan menerusi maklum balas ringkas menyatakan pihaknya mengambil maklum mengenai perkara yang dibangkitkan dan akan menjalankan siasatan lanjut.

Mohd Azam berkata penambahbaikan sistem PA penting bagi memastikan calon dapat mendengar dan memahami audio dengan jelas, khususnya ketika menduduki ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Beliau berkata gangguan audio yang tular sebelum ini bukan berlaku secara menyeluruh, sebaliknya hanya melibatkan kes terpencil yang tetap memerlukan perhatian dan tindakan sewajarnya.

Mohd Azam berkata pihak pengurusan peperiksaan di peringkat sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri perlu memainkan peranan masing-masing bagi memastikan kemudahan peperiksaan dinilai dan tindakan sewajarnya diambil. 

Beliau berkata pengetua selaku pengurus peperiksaan sekolah serta pengurus peperiksaan di peringkat negeri perlu memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, termasuk menilai kemudahan yang digunakan.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata masalah yang dilaporkan tidak semestinya berpunca daripada kerosakan sistem audio, sebaliknya mungkin berkaitan keupayaan calon menangkap sebutan dan bunyi perkataan yang diperdengarkan.

“Sebenarnya kadang-kadang bukannya audio tak dengar atau sebagainya, sebab kadang-kadang kena nilai bagaimana anak kita tak dapat tangkap dari segi sebutan dan bunyi.

“Semua itu akhirnya dikatakan audio tak baik. Memang perkara ini, dua tiga tahun dulu pernah dibangkitkan, bila kita nilai isunya ialah keupayaan anak-anak kita untuk menangkap sebutan ini terutama (bahasa) Inggeris,” katanya. – Bernama

ASPIRASI umum Jileng Kion calon DUN Opar

KUCHING, 24 November: Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) mengumumkan Bendahari Agungnya, Jileng Kion, 70, sebagai calon parti itu bagi kerusi