“Pesan abang kepada anak muda, belajar bersungguh-sungguh, bantu keluarga keluar daripada kemiskinan” – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari berucap pada Majlis Perasmian Program SKS 2026 bahagian Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, 23 November: Anak muda Sarawak diseru belajar bersungguh-sungguh dan menggunakan peluang ketika usia muda untuk membantu keluarga keluar daripada kemiskinan.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, golongan muda perlu memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya bagi membina kehidupan lebih baik untuk diri sendiri dan keluarga.

“Pesan saya ialah waktu muda gunakan masa dengan sebaik-baiknya, belajar sungguh-sungguh, tolong keluarga menjadi anak yang pandai mengubah nasib keluarga daripada kemiskinan kepada yang lebih baik.

ABANG Johari hadir pada Majlis Perasmian Program SKS 2026 bahagian Kota Samarahan.

“Dan seterusnya berjuanglah untuk Sarawak dan umat manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Samarahan di sini, hari ini.

Dalam ucapannya, Abang Johari turut menyentuh mengenai peluang pendidikan yang disediakan kerajaan Sarawak kepada anak negeri, termasuk pembiayaan yuran pengajian tinggi.

“Keadaan ini berbeza berbanding dahulu apabila ibu bapa perlu menanggung bayaran yuran pengajian anak-anak.

“Kalau dahulu ada yang susah sedikit untuk ibu bapa membayar yuran, hari ini GPS yang bayar yuran. Kita belajar sahaja, percuma,” jelasnya.

Beliau turut menggalakkan pelajar memberi perhatian kepada bidang pengajian berkaitan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.

“Sarawak memerlukan lebih ramai anak tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan, termasuk robotik dan kecerdasan buatan (AI),” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah