KUALA LUMPUR: Maybank Investment Bank (Maybank IB) semalam menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kekal pada 2.00 peratus ketika Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan terus memantau pelaksanaan serta impak pelbagai langkah-langkah dasar yang dijalankan.
Menurutnya, walaupun Nisbah Keperluan Rizab (SRR) masih tidak berubah pada 2.00 peratus, BNM pada Mac lepas telah membenarkan bank-bank menggunakan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) untuk memenuhi pematuhan SRR berkuat kuasa 16 sehingga 31 Mei 2021.
“Ini akan membebaskan mudah tunai tanpa perlu menyemak semula SRR,” kata Maybank IB dalam nota penyelidikannya semalam.
Pada Selasa, bank pusat itu telah mengumumkan pengurangan 50 mata asas (bps) OPR yang menjadikan jumlah penurunan sebanyak 100 bps susulan pengurangan 25 bps masing-masing pada 22 Januari dan 3 Mac lepas.
“Ini juga seiring dengan unjuran yang dibuat oleh pasukan ekonomi kami,” kata Maybank IB.
Menurutnya, bank itu turut mengunjurkan pendapatan turut susut menerusi tiga pengurangan kadar sehingga 75 bps tahun ini.
“Walaupun pengurangan (OPR) Mei ini lebih besar iaitu sebanyak 25 bps, kami tetap mengekalkan unjuran pendapatan yang dibuat sebelum ini.
Sebahagian besar daripada deposit itu lazimnya ditentukan semula harganya dalam tempoh potongan kadar tiga hingga enam bulan dan ini sebenarnya mengimbangi penurunan pulangan yang belum dimasukkan ke dalam model kami,” katanya.
Dari segi agregat, bank pelaburan itu percaya margin kadar faedah (NIM) akan meningkat sebanyak 7.0 bps pada 2020 berbanding 6.0 bps pada 2019 berikutan saham-saham perbankan di bawah liputan bank itu.
“Kami mengurangkan agregat pendapatan 2020/21 untuk bank-bank di bawah liputan kami masing-masing sebanyak 13/15 peratus selepas mengambil kira pertumbuhan pinjaman lebih perlahan, peningkatan NIM, fi lebih rendah, pendapatan pelaburan serta kos kredit lebih tinggi.
“Pada masa sama, kami juga menjangkakan keuntungan bersih menguncup sebanyak 13 peratus pada 2020 dengan pertumbuhan sederhana 2.0 peratus pada 2021 berikutan peningkatan kos kredit,” katanya.
Setakat 12.10 tengah hari semalam, indeks kewangan di Bursa Malaysia menokok 4.26 mata kepada 12,358.36. – Bernama