MySiren tiada akses kepada data peribadi pemilik peranti – Fahmi

Facebook
WhatsApp
MENTERI Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Seri Fahmi Fadzil berucap pada Majlis Pelancaran Sistem Amaran Awal Nasional MySiren di Bangunan Parlimen hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 23 November: Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) yang dilancarkan hari ini hanya berfungsi menghantar notifikasi kepada pengguna tanpa mempunyai akses kepada data peribadi pemilik peranti.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata sistem yang dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu menggunakan teknologi Sistem Siaran Sel (Cell Broadcast System, CBS)untuk menyalurkan amaran secara langsung kepada telefon mudah alih yang serasi dalam kawasan geografi yang ditetapkan, tanpa memerlukan pemasangan aplikasi atau pendaftaran.

“MySiren ini berbeza daripada kaedah SMS (sistem pesanan ringkas) yang menghantar pesanan kepada nombor penerima. Sistem yang digunakan ini tidak mendapatkan sebarang maklumat atau data daripada peranti pengguna.

“Ia juga tidak melibatkan sebarang kos kepada penerima pesanan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan MySiren di Bangunan Parlimen di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fatih Din.

Fahmi berkata ujian penerimaan amaran MySiren secara serentak di seluruh negara dijadualkan berlangsung pada 10.10 pagi, 29 November ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata MySiren berkeupayaan menyampaikan maklumat atau amaran dengan jauh lebih pantas dan serentak kepada semua peranti berbanding kaedah penghantaran SMS.

PETUGAS Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) , Tasha Balqis menunjukkan paparan notifikasi amaran yang diterima pada telefon bimbit menerusi Sistem Amaran Awal Nasional (MySiren) hari ini. Foto Bernama

“Jika menggunakan SMS, mesej perlu melalui barisan menunggu penghantaran oleh syarikat telekomunikasi (telco). Sebaliknya, sistem ini memintas proses berkenaan dan menghantar mesej terus kepada alat pemancar. Semua menara telekomunikasi boleh bertindak sebagai pemancar untuk menyampaikan mesej amaran bencana.”

“Jadi, semua pengguna yang berada dalam lingkungan menara atau pemancar yang aktif akan menerima maklumat yang sama pada waktu yang sama,” katanya.

Fahmi berkata MCMC kekal sebagai agensi yang mengendalikan sistem MySiren, manakala pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut boleh mengakses sistem berkenaan.

“Pada masa ini, fokusnya adalah untuk menyalurkan notifikasi berkaitan banjir, tanah runtuh dan bencana alam. Namun, skopnya akan diperluas kepada beberapa maklumat lain termasuk kebakaran, kehilangan individu atau kanak-kanak serta perkara berkaitan PBT yang mempunyai sifat bencana,” katanya.

Fahmi berkata MySiren mula dibangunkan pada 2025 selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif itu ketika pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober 2024, dengan kos keseluruhan berjumlah RM200 juta. – Bernama