KUCHING, 23 November: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Engkilili, Johnical Rayong Ngipa mengumumkan keluar daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) serta melepaskan semua jawatan yang disandangnya dalam parti itu berkuat kuasa 22 November 2026.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan itu tidak menjejaskan kedudukannya dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS), sebaliknya akan terus menyokong kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Johnical berkata, keputusan tersebut dibuat atas pertimbangan sendiri selepas meneliti prinsip politik yang dipegang, aspirasi masa depan serta peranan yang ingin terus dimainkan dalam politik Sarawak.
Menurutnya, keputusan itu turut mengambil kira pandangan dan permintaan penyokong di peringkat akar umbi yang mahu kestabilan politik GPS terus terpelihara, khususnya di kawasan DUN Engkilili.
“Saya ingin menegaskan bahawa saya kekal bersama GPS dan terus berpegang pada komitmen saya terhadap aspirasi politik serta kepentingan Sarawak secara keseluruhannya,” katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, hari ini.
Mengulas kemungkinan menyertai parti komponen GPS lain selepas keluar PDP, termasuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS) atau Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Johnical meminta semua pihak menunggu perkembangan pada 25 November ini.
“Saya masih bersama GPS, untuk parti komponen mana saya akan sertai kita tunggu 25 hari bulan nanti,” katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Engkilili pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, Johnical berkata perkara itu merupakan prerogatif Premier Sarawak untuk menentukan.
“Bertanding atau tidak, ini adalah prerogatif Yang Amat Berhormat Premier. Beliau saja boleh memutuskan,” katanya.
Ditanya sama ada keputusan keluar PDP mempunyai kaitan dengan isu kerusi tradisi Engkilili dan Bawang Assan, beliau berkata tindakan itu dibuat atas inisiatif penyokongnya di peringkat akar umbi.
Johnical turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan, ahli dan penyokong PDP atas peluang, pengalaman serta hubungan baik sepanjang bersama parti itu.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di DUN Engkilili dan seluruh Sarawak, selain memperjuangkan hak serta kepentingan negeri di bawah GPS.
Johnical Rayong memulakan perjalanan politiknya menerusi Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) sebelum menyertai Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).
Beliau pertama kali memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.33 Engkilili pada PRN Sarawak 2006 atas tiket SNAP dan berjaya mengekalkan penguasaannya di kawasan berkenaan dalam pilihan raya berikutnya.
Beliau kemudiannya menyertai Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan muncul sebagai antara pemimpin kanan parti itu dengan memegang jawatan Timbalan Presiden.
Pada PRN Sarawak 2021, Johnical mempertahankan kerusi DUN Engkilili atas tiket PSB dengan majoriti 1,191 undi selepas menewaskan calon GPS daripada SUPP, Desmond Sateng Sanjan.
Perkembangan politik menyaksikan PSB membuat keputusan untuk dibubarkan dan menyertai PDP secara beramai-ramai pada April 2024, susulan keputusan yang diumumkan pada Disember 2023.
Peralihan itu turut membabitkan kira-kira 80,000 ahli PSB, termasuk Johnical yang kemudiannya dilantik sebagai Naib Presiden PDP.
Penyertaan Johnical ke dalam PDP membolehkannya berada dalam gabungan GPS sebagai wakil rakyat penyandang DUN Engkilili.
Bagaimanapun, pengumuman beliau keluar daripada PDP pada 22 November 2026 kini membuka lembaran baharu dalam perjalanan politiknya, meskipun beliau menegaskan akan terus bersama GPS.
Oleh SHAHRUL QAIZAT




