Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara meninggal dunia

Facebook
WhatsApp
Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad, meninggal dunia pada usia 86 tahun di Hospital Kuala Lumpur hari ini. Foto Fail Bernama

KUALA LUMPUR, 22 November: Bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad meninggal dunia pada usia 86 tahun akibat jangkitan paru-paru hari ini.

Adik bongsu Allahyarham, Zulkhairi Abd Samad berkata abangnya menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur pada 4.20 petang.

“Arwah sudah beberapa tahun sakit paru-paru sebelum mengalami kerosakan injap jantung dan sering keluar masuk ke hospital.

“Semalam, secara tiba-tiba arwah tidak sedarkan diri dan doktor memberitahu kemungkinan ia berpunca daripada jangkitan kuman pada paru-parunya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zulkhairi berkata jenazah kini berada di kediamannya di Jalan Jelatek, Kampung Datuk Keramat dan dijangka disolat serta dikebumikan di Gombak pagi esok.

Abdul Halim, yang berasal dari Kuantan, Pahang meninggalkan isteri, Iasah Ibrahim dan tiga anak.

Beliau dilantik sebagai Senator pada 3 November 2014 dan berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara dari 18 April 2016 hingga 2 November 2020.

Abdul Halim pernah bertugas sebagai guru, setiausaha akhbar dan setiausaha sulit kanan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta merupakan Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang pertama.

Beliau juga pernah memegang jawatan Pengerusi Kumpulan KUB Malaysia Bhd dan terlibat dalam persatuan kebajikan masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menziarahi jenazah Abdul Halim di kediaman keluarganya.

Presiden UMNO itu berkata ramai yang hadir untuk menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir dan mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat.

“Kehilangan insan tersayang tentunya bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Semoga seluruh keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut mengajak orang ramai mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Abdul Halim, menerima amal kebajikan dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.- Bernama