PIHAK pembangkang bagaikan dengan mudah menuding jari kepada pihak Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan tuduhan tindakan ingin mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat ini merupakan taktik muslihat politik.
Pembangkang terang-terangan menyatakan mereka ingin PRN ditangguhkan sehingga ke tahun hadapan (2022).
Hakikatnya ialah, keadaan musim landas dijangka akan memuncak mulai tahun hadapan. Kemungkinan banjir besar yang melanda sebahagian besar Bumi Kenyalang ini, terutama sekali kawasan pedalaman seperti Baram, Limbang, Lawas dan beberapa kawasan lagi pasti akan membuat pergerakan hebat perlu dilakukan.
Pengurusan banjir bukan sesuatu yang mudah untuk ditangani. Jika pilihan raya diadakan pada ketika bencana alam itu menimpa, yang pasti kerja-kerja berkaitan pilihan raya akan terganggu, tidak dapat diurus dengan baik.
Penubuhan pusat-pusat pemindahan bukan mudah dilakukan tanpa mengambil kira banyak faktor.
Pada ketika kita masih lagi dalam situasi endemik ini pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) perlu mengenalpasti tapak-tapak yang sesuai, berapa banyak pusat pemindahan yang diperlukan, selain perlu berbincang dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat berkaitan bantuan yang perlu diberi.
Pihak Bomba dan Penyelamat serta pihak Jabatan Pertahanan Awam perlu digerak dalam usaha membekalkan logistik bagi tujuan pemindahan dan seumpamanya, manakala pihak Jabatan Kesihatan dan Perubatan perlu juga disiapsiagakan untuk sebarang kemungkinan kecemasan berlaku pada musim banjir.
Demi mengelak ancaman serangan virus Covid-19, penjarakan Pusat Pemindahan juga perkara yang penting diambilkira, jika tidak kemungkinan penularan jangkitan virus korona boleh menambahkan lagi kerumitan.
Sebagai contoh, dalam mempersiapkan tindakan menghadapi banjir ketika ini sebanyak 631 pusat pemindahan yang dibina, dengan mengambilkira untuk menempatkan kapasiti 188,360 individu mangsa banjir.
Justeru, PRN12 perlu diadakan dalam tempoh sebelum bulan depan berakhir, dan bukannya muslihat politik seperti yang cuba digambarkan.