Haaland terpalit kontroversi VAR ketika Man City diikat Fulham

Facebook
WhatsApp
PENYERANG Manchester City dari Norway, Erling Haaland (9), mengawal bola ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Fulham di Stadium Etihad, Manchester, barat laut England, pada 21 November 2026. Foto AFP

MANCHESTER, United Kingdom, 21 November: Erling Haaland dinafikan jaringan penting dalam keputusan yang mencetuskan kontroversi apabila cabaran Manchester City untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) menerima tamparan baharu selepas seri 1-1 menentang Fulham sebentar tadi.

Skuad kendalian Enzo Maresca ketinggalan menerusi jaringan awal Rodrigo Muniz di Stadium Etihad sebelum gol penyamaan Haaland dibatalkan dalam keputusan yang dipertikaikan.

PEMAIN tengah Manchester City dari England, Elliot Anderson (kanan), melakukan kekasaran terhadap pertahanan Fulham dari Belanda, Kenny Tete (2), ketika aksi Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Fulham di Stadium Etihad, Manchester, barat laut England, pada 21 November 2026. Foto AFP

Penyerang City itu menendang bola keluar daripada genggaman penjaga gol Fulham, Bernd Leno, ketika bola berada di garisan gol.

Namun, Leno dilihat masih belum menggenggam bola dengan kedua-dua tangannya sepenuhnya ketika Haaland menyentuhnya, sekali gus menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain City terhadap keputusan berkenaan.

Elliot Anderson menyelamatkan City daripada mengalami kekalahan liga keempat berturut-turut apabila pemain tengah England itu menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi gol pertamanya dalam saingan liga utama sejak menyertai kelab itu dari Nottingham Forest pada penghujung musim perpindahan lalu.

PEMAIN tengah Manchester City dari England, Elliot Anderson (5), meraikan jaringan penyamaan ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Fulham di Stadium Etihad, Manchester, barat laut England, pada 21 November 2026. Foto AFP

Bagaimanapun, ia sekali lagi menjadi petang yang mengecewakan buat City yang menduduki tangga ketiga liga apabila mereka gagal mencari gol kemenangan sebelum diejek penyokong ketika tamat perlawanan.

Pendahulu liga, Arsenal berpeluang melebarkan jurang mata dengan City kepada lapan mata sekiranya menewaskan Newcastle pada Sabtu.

Selepas memulakan musim dengan cemerlang menerusi tujuh kemenangan liga berturut-turut, City kini gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan terakhir EPL.

PEMAIN tengah Fulham dari Ireland Utara, Shea Charles (19), mengawal bola ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Manchester City di Stadium Etihad, Manchester, barat laut England, pada 21 November 2026. Foto AFP

Ia juga merupakan kali pertama dalam tempoh 15 tahun dan selepas 21 pertemuan bahawa City gagal menewaskan Fulham.

City masih menunggu keputusan rayuan terhadap keputusan bersalah berhubung pelanggaran peraturan kewangan EPL, selain dilihat semakin terganggu dengan isu berkenaan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Maresca sebelum ini mendakwa City tidak terkesan dengan “bising” yang timbul susulan skandal kewangan itu, yang berkemungkinan membawa kepada pemotongan mata dalam jumlah besar sekiranya rayuan mereka ditolak.

Namun, persembahan hambar pasukannya sejak kebelakangan ini seolah-olah menunjukkan sebaliknya, dengan aksi sukar menentang Napoli pada Selasa dan Arsenal pada hujung minggu depan berpotensi memanjangkan kemerosotan prestasi mereka.

City terus bergelut

City memerlukan permulaan pantas untuk meredakan tekanan dan Haaland hampir membuka jaringan apabila tandukan lambungnya berjaya dikeluarkan dari garisan gol.

Bagaimanapun, Maresca masih belum berjaya menyelesaikan masalah pertahanan yang menghantui City dalam tiga perlawanan terdahulu.

Fulham mengambil kesempatan terhadap kelemahan itu untuk mendahului menerusi serangan balas pantas pada minit ke-16.

Bekas pemain sayap City, Oscar Bobb, memintas hantaran yang tersasar sebelum melakukan larian pantas di sebelah kanan dan menghantar bola kepada Muniz yang melakukan larian masuk ke dalam kotak penalti.

Ketika benteng pertahanan City kelihatan tidak tersusun, Muniz tenang menyudahkan peluang menerusi rembatan lencong menarik ke penjuru atas gawang.

Maresca jelas kecewa dan kekecewaannya bertambah apabila City sekali lagi dinafikan jaringan penyamaan pada minit ke-26.

Hantaran lintang Iliman Ndiaye menemui Haaland di dalam kotak enam ela, namun rembatan voli lemah penyerang Norway itu berjaya diselamatkan Leno.

Momentum Haaland membawanya ke arah Leno sebelum dia menendang bola melepasi garisan gol ketika penjaga gol Fulham itu masih bergelut untuk menguasainya.

Bagaimanapun, kegembiraan Haaland tidak bertahan lama apabila VAR memutuskan jaringan itu dibatalkan kerana kekasaran terhadap Leno.

Haaland turut mensia-siakan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila rembatan daripada hantaran Phil Foden yang memecah benteng pertahanan lawan tersasar jauh melepasi palang.

Pada hari yang kurang menyebelahi dirinya, Haaland sekali lagi gagal memanfaatkan peluang apabila sepakannya daripada hantaran Nico O’Reilly tersasar ke sebelah gawang.

Selepas sekian lama gagal menemui rentak permainan, City akhirnya mula mengatur gerakan lebih tersusun selepas rehat dan tekanan mereka membuahkan hasil pada minit ke-58.

Kegagalan Fulham mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya selepas sepakan penjuru dimanfaatkan Anderson yang melepaskan rembatan voli kencang dari luar kotak penalti untuk menewaskan Leno.

Anderson hampir meletakkan City di hadapan beberapa ketika kemudian, namun rembatan rendahnya tersasar tipis di sebelah gawang.

Itulah gambaran nasib City pada hari berkenaan, dengan kempen mereka kini berisiko terus merosot sebelum keputusan rayuan berhubung kes kewangan kelab itu diketahui. – AFP