11 maut, lebih 180 dimasukkan ke hospital akibat minum arak tidak sah di India

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

NEW DELHI, 21 November: Sekurang-kurangnya 11 orang maut manakala lebih 180 lagi dimasukkan ke hospital selepas dipercayai meminum minuman keras tercemar di negeri Manipur, timur laut India.

Ketua Menteri, Yumnam Khemchand Singh, berkata mangsa jatuh sakit selepas mengambil minuman keras berkenaan, menurut kenyataan semalam.

“Lebih 180 pesakit telah dimasukkan ke dua hospital setakat ini, manakala jumlah kematian mencecah 11 orang dalam tempoh 48 jam lalu,” menurut kenyataan itu.

Beliau turut mengarahkan siasatan dijalankan berhubung kejadian berkenaan dan menegaskan pihak yang bertanggungjawab akan ditahan serta dikenakan tindakan sewajarnya.

Kes kematian akibat pengambilan minuman keras tidak sah atau dicampur bahan berbahaya kerap dilaporkan di India. Minuman keras murah yang dijual di luar saluran kawal selia berisiko mengandungi metanol, iaitu bahan kimia industri yang sangat beracun.

Pada Mei lalu, sekurang-kurangnya 15 orang maut selepas meminum minuman keras tidak sah yang dicampur metanol di Pune dan kawasan berdekatan Pimpri-Chinchwad, di negeri Maharashtra, barat India.

Pada Ogos pula, 13 orang maut manakala lebih 60 lagi terjejas selepas mengambil minuman keras yang dicemari metanol di daerah Bhavnagar, Gujarat, menurut laporan media tempatan.

Minuman keras seumpama itu digunakan secara meluas di seluruh India, dengan sebotol kadangkala dijual pada harga kurang AS$1.

Jika tertelan, metanol boleh menyebabkan kebutaan, kerosakan hati dan kematian sekiranya diambil dalam kepekatan tinggi. – AFP