Hubungan kekeluargaan eratkan kerjasama Sarawak-Brunei – Abang Johari

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan penghargaan kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah atas sokongan dan kerjasama dalam memperkukuh hubungan Sarawak-Brunei. Foto UKAS

LAWAS, 18 November: Hubungan erat berteraskan semangat kekeluargaan antara Sarawak dan Negara Brunei Darussalam menjadi antara faktor yang membantu menyelesaikan pelbagai isu dua hala menerusi rundingan, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama lebih luas dalam pembangunan serantau.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan berunding dalam suasana saling memahami sebagai jiran dan keluarga membolehkan beberapa perkara berbangkit antara Malaysia dengan Brunei diselesaikan dengan baik.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah atas sokongan dan kerjasama yang diberikan, khususnya sepanjang perbincangan dua hala yang turut melibatkan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“Perdana Menteri pun tanya, bagaimana anda dapat menyelesaikan perkara itu? Kerana Brunei dengan kita adalah sekeluarga,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian bangunan Pusat Pentadbiran Lawas di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, hubungan baik itu penting bagi memastikan kawasan utara Sarawak, termasuk Limbang dan Lawas, terus berkembang bersama Brunei dan kawasan sekitarnya.

Kedudukan geografi kedua-dua daerah berkenaan menjadikan hubungan rentas sempadan dengan Brunei amat penting. Bahagian Limbang terletak di antara dua kawasan Brunei, iaitu bahagian barat negara itu dan Daerah Temburong, manakala Lawas berada di utara Sarawak, bersempadan dengan Temburong dan Sabah.

Dari sudut sejarah, isu persempadanan dan beberapa perkara tertunggak antara Malaysia dengan Brunei memasuki fasa baharu menerusi pemeteraian Pertukaran Surat pada 16 Mac 2009. Persetujuan itu merangkumi persempadanan maritim, aturan komersial berkaitan minyak dan gas, kaedah penandaan sempadan darat serta hak akses maritim bagi rakyat dan penduduk Malaysia yang melalui perairan Brunei untuk ke Sarawak.

Kerja pengukuran dan penandaan sempadan darat masih diteruskan melalui mekanisme bersama kedua-dua negara. Setakat Ogos 2026, kira-kira 264.791 kilometer atau 50 peratus daripada keseluruhan sempadan darat telah diukur dan ditandakan, dengan sasaran menyelesaikan keseluruhan proses menjelang 2034.

Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, Sarawak turut bersedia memperluas kerjasama tenaga dengan Brunei, termasuk menghubungkan rangkaian bekalan elektrik kedua-dua pihak.

Beliau berkata, bekalan elektrik di kawasan Limbang dan Lawas yang sebelum ini bergantung kepada diesel kini menikmati bekalan 24 jam menerusi penggunaan gas dan penyambungan grid.

“Sekarang kita sudah ada bekalan elektrik 24 jam. Dulu menggunakan diesel, tetapi sekarang kita ada gas dan grid. Insya-Allah, kita kongsi juga dengan Brunei supaya kita dapat menyambungkan grid elektrik kita,” katanya.

Kerjasama tenaga itu mempunyai asas rasmi menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Tenaga antara kerajaan Sarawak dan Kerajaan Brunei yang ditandatangani pada 3 September 2025, merangkumi bidang minyak dan gas, tenaga elektrik serta peralihan tenaga.

Antara projek yang sedang diusahakan ialah sambungan grid elektrik rentas sempadan yang menghubungkan Lumut di Kuala Belait, Brunei dengan Tudan di Miri sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan Grid Kuasa ASEAN.

Selain sektor tenaga, kedua-dua pihak turut memperkukuh kerjasama dalam pelancongan, perdagangan, pertanian dan hubungan rakyat. Antara inisiatif yang sedang digerakkan termasuk promosi pelancongan bersama, kerjasama penerbangan serta perbincangan mengenai penanaman padi secara komersial di Sarawak.

Abang Johari berharap hubungan erat itu terus menjadi asas kepada pembangunan bersama, khususnya bagi kawasan Limbang, Lawas, Brunei dan Miri, demi membuka lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan penduduk di kedua-dua pihak.