SARIKEI, 18 November: Usaha membantu empat keluarga yang terjejas akibat kebakaran di Rumah Sibar Duat, Lubok Lemba, Ulu Sarikei tidak terhenti dengan penyaluran bantuan makanan dan keperluan asas, sebaliknya turut merangkumi usaha mendapatkan sokongan bagi membaiki kediaman mereka.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, kebajikan keluarga tersebut perlu diberikan perhatian supaya mereka dapat kembali menjalani kehidupan dalam keadaan selamat dan selesa.
Katanya, pihaknya akan berusaha membantu mendapatkan sokongan daripada pihak dan agensi berkaitan bagi membolehkan kerja pembaikan kediaman yang terjejas dilaksanakan.
“Saya amat bersimpati dengan nasib empat keluarga yang terjejas akibat kebakaran ini dan berharap bantuan yang disalurkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka, khususnya dalam memenuhi keperluan harian.
“Kita juga akan memberi perhatian terhadap keperluan mangsa, termasuk usaha membantu mereka mendapatkan sokongan bagi kerja-kerja pembaikan rumah yang terjejas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repok ketika dihubungi media, hari ini.

Beliau berkata demikian berhubung lawatan kebajikan pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei ke rumah panjang tersebut pada semalam.
Katanya, penyelarasan bersama agensi berkaitan penting bagi memastikan keperluan pembaikan kediaman dapat dikenal pasti dan tindakan susulan dilaksanakan dengan teratur.
“Saya berharap urusan berkaitan pembaikan kediaman dapat diselaraskan dengan pihak dan agensi berkaitan supaya keluarga yang terlibat dapat kembali menikmati tempat tinggal yang selamat dan selesa dalam masa terdekat,” katanya.
Terdahulu, pasukan Pusat Khidmat Parlimen Sarikei mengadakan lawatan kebajikan dan menyampaikan bantuan berupa makanan serta barangan keperluan dapur kepada empat keluarga yang terjejas.
Bantuan tersebut disampaikan sebagai langkah awal meringankan beban keluarga tersebut selepas kebakaran yang berlaku pada 16 November lalu.
Dalam kejadian awal pagi Isnin itu, empat pintu kediaman di rumah panjang 34 pintu berkenaan mengalami kerosakan akibat kebakaran.
Berdasarkan laporan operasi bomba, kebakaran melibatkan bahagian dapur, ruang makan dan kerangka atap beberapa pintu rumah panjang tersebut.
Tindakan pantas Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubuk Lemba bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei dan Bintangor berjaya menghalang api daripada merebak ke bahagian lain.
Dalam pada itu, Huang berharap keluarga yang terjejas terus tabah menghadapi dugaan tersebut sementara usaha pemulihan kediaman mereka diberikan perhatian.
“Saya berharap semua keluarga yang terlibat diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi dugaan ini serta dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Oleh Earl Anek




