Ketepikan kepentingan sendiri demi manfaat masyarakat

Facebook
WhatsApp
PENERANGAN PROJEK...pemangku pengarah JBALB Tabida sedang memberi taklimat projek loji air baru Pengalih Lukutan di Lawas

LAWAS, 17 November: Masyarakat di kawasan luar bandar perlu memahami keperluan kerajaan melaksanakan projek pembangunan untuk rakyat, khususnya yang melibatkan kawasan tanah milik mereka.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, terdapat segelintir pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan diri sendiri apabila sesuatu projek dilaksanakan di kawasan mereka.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya memahami perancangan kerajaan serta manfaatnya kepada orang ramai dan generasi akan datang.

“Harap perkara seperti ini tidak berlaku di sini. Tanah itu sudah ditebus oleh kerajaan dan jalan sudah tersedia. Kita mempunyai kawasan rizab jalan, tetapi apabila kita hendak memasang paip di kawasan rizab jalan itu pun masih ada pihak yang mendakwa tanah tersebut milik mereka.

“Sedangkan semua urusan sudah diselesaikan. Inilah yang kadangkala melambatkan pelaksanaan projek. Disebabkan tindakan seorang individu, seluruh masyarakat terpaksa menghadapi masalah.

“Jika seseorang mempunyai hak ke atas tanah dan hak itu sah di sisi undang-undang, kerajaan tidak akan mengambilnya begitu sahaja. Pampasan akan diberikan, termasuk bagi struktur yang terdapat di atas tanah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Loji Rawatan Air Pengalih Lakutan, Lawas, hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa serta kenamaan lain.

Awang Tengah menegaskan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan sesuatu yang memudaratkan rakyat, sebaliknya akan terus berusaha memastikan kesejahteraan masyarakat.

Oleh Adeng Edrus