MADRID, 17 November: Seorang peminat bola sepak dijatuhi hukuman penjara 11 bulan (dengan pelaksanaan hukuman ditangguhkan), larangan memasuki stadium, dan denda kerana melontarkan penghinaan berbaur perkauman terhadap penyerang Real Madrid, Kylian Mbappe, semasa perlawanan La Liga menentang Real Oviedo pada Ogos tahun lalu, lapor PA Media/dpa.
Mbappe menjaringkan dua gol ketika Real Madrid menewaskan Real Oviedo 3-0 dalam perlawanan di Stadium Carlos Tartiere pada 24 Ogos 2025.
Seorang individu dalam kalangan penonton dikenal pasti melakukan bunyi dan isyarat berunsur perkauman terhadap penyerang Perancis itu selepas beliau menjaringkan gol pembukaan pada penghujung separuh masa pertama.
La Liga kemudiannya melaporkan insiden itu kepada polis.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Real Madrid menyatakan:
“Real Madrid mengumumkan bahawa Bahagian Kedua Mahkamah Wilayah Asturias hari ini telah menjatuhkan keputusan bersalah terhadap individu yang bertanggungjawab melakukan penghinaan perkauman ke atas pemain kami, Kylian Mbappe, semasa perlawanan antara Real Oviedo dan Real Madrid pada 24 Ogos 2025 di Stadium Carlos Tartiere.
“Tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara 11 bulan atas kesalahan jenayah kebencian, selain dikenakan pelbagai sekatan lain serta denda kewangan. Pelaksanaan hukuman penjara tersebut ditangguhkan dengan syarat individu berkenaan tidak menghadiri mana-mana stadium bola sepak yang menganjurkan pertandingan sukan rasmi untuk tempoh dua tahun.
“Keputusan ini menambah kepada senarai sabitan jenayah yang dijatuhkan sebelum ini berhubung penghinaan berunsur perkauman terhadap pemain Real Madrid di stadium Mestalla, Son Moix, Vallecas dan Jose Zorrilla.
“Real Madrid, yang bertindak sebagai pendakwa persendirian dalam kes ini dan akan terus berbuat demikian dalam kes lain yang melibatkan insiden serupa, menegaskan semula komitmennya untuk memerangi perkauman serta menghapuskan sebarang tingkah laku berunsur perkauman dalam bola sepak dan sukan.” – Bernama




