BRUSSELS, 17 November: Peruncit dalam talian Temu berisiko dikenakan denda yang besar kerana gagal menangani penjualan produk haram di platformnya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) yang memetik Suruhanjaya Eropah pada Selasa.
Suruhanjaya itu pada Selasa memaklumkan pemeriksaan pematuhan produk, prosedur penyederhanaan kandungan serta sistem pengenaan sekatan oleh gergasi e-dagang berkenaan didapati tidak berkesan.
“Urusan membeli-belah dalam talian tidak sepatutnya membawa risiko pembelian produk haram dan tidak selamat,” kata Naib Presiden Suruhanjaya Eropah Henna Virkkunen.
Temu mempunyai hak untuk mengemukakan pembelaan dan boleh melaksanakan perubahan bagi menangani kelemahan yang dikenal pasti.
Bagaimanapun, sekiranya suruhanjaya itu akhirnya mengesahkan berlakunya pelanggaran Akta Perkhidmatan Digital (DSA), syarikat berkenaan boleh dikenakan denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunannya di seluruh dunia.
Pada Mei lepas, suruhanjaya itu mengenakan denda sebanyak €200 juta (AS$220 juta) terhadap Temu selepas mendapati platform berkenaan menawarkan mainan bayi dan peranti elektronik kecil yang tidak selamat.
Sejak itu, peruncit berkenaan berjanji untuk menangani masalah itu. – Bernama




