KUCHING: Sarawak mempunyai 27 kumpulan etnik dan 45 dialek yang dituturkan oleh masyarakat di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, jika dilihat dengan lebih dekat kepada orang asli dan suku kaum di negeri ini ia boleh dibahagikan kepada sub-suku kaum bergantung kepada lokasi geografi mereka.
“Sebagai contoh, masyarakat Dayak dibahagikan kepada kumpulan berikut: Dayak Laut (Iban), Sebuyau, Remun, Balau, dan Iban Undup, dll. Orang Melayu diklasifikasikan sebagai Melayu Brunei dan Melayu Sarawak. Melanau dibahagikan kepada Oya, Daro, Balangian dan sebagainya.
“Tidak dinafikan, bentuk budaya yang pelbagai ini menyediakan sumber yang luas untuk aktiviti penyelidikan, terutamanya mengenai budaya, bahasa, amalan tradisional, seni persembahan dan cara hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Sains Sosial & Kemanusiaan (ICOSSH) 2021 kali kedua di Hotel Grand Margherita, semalam.
Abang Johari berkata, walaupun Kerajaan Sarawak sedang berusaha untuk membangunkan ekonomi digital, aspek penting budaya tempatan mesti dipelihara dan dipromosikan.
“Ramai cendekiawan, terutamanya mereka yang berurusan dengan etnik di Sarawak dan Borneo, mesti berusaha ke arah pemuliharaan budaya asli ini.
“Justeru itu, penyelidikan pasti akan membantu untuk menonjolkan kekayaan kepelbagaian budaya Sarawak dan mengukuhkan identiti budaya kita,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM10 juta di bawah Bajet Sarawak 2022 untuk menubuhkan Tabung Pemudahcara Warisan, Kesenian dan Kebudayaan tahun depan bagi meningkatkan program pelancongan dan promosi di negeri Sarawak, sebuah tanah yang kaya dengan budaya dan etnik dan pelbagai dalam ekspresi seni.
“Saya amat berharap agar kita dapat meneruskan program yang sama untuk mewujudkan peluang dan usaha yang dipertingkatkan dalam mewujudkan kerjasama akademik dan penyelidikan antara universiti di kepulauan Borneo dan di seluruh nusantara dan meningkatkan reputasi Borneo sebagai destinasi eko-pelancongan komersial dengan mempromosikan warisan budaya Borneo di peringkat antarabangsa.
“Penyelidikan pasti akan membantu untuk menonjolkan kekayaan kepelbagaian budaya Sarawak dan mengukuhkan identiti budaya kita.
“Kerajaan Sarawak berharap dengan penubuhan Pengerusi Pehin Sri Adenan Satem di UPM Bintulu, adalah mungkin untuk membangunkan UPM Kampus Bintulu Sarawak sebagai pusat penyelidikan yang tertumpu kepada etnik Borneo di Sarawak, memfokuskan kepada unsur budaya, linguistik dan sosioekonomi,” ujarnya.
Mengenai persidangan itu, Abang Johari mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan dan Universiti Putra Malaysia Bintulu Kampus Sarawak yang menjadi hos bagi persidangan itu yang telah menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang dan negara seperti Brunei, Indonesia dan Filipina.
“Persidangan ini boleh membawa kepada pembangunan hab pendidikan peringkat antarabangsa di Borneo dan membina hubungan untuk mempromosi dan memupuk kepelbagaian tradisi budaya masyarakatnya.
“Saya amat percaya perhimpunan budaya ini juga akan membantu masyarakat umum mengenali kekayaan budaya rantau ini dan pada masa yang sama berusaha untuk mengekalkan warisan budaya kita yang luas untuk diwarisi kepada generasi akan datang.
“Saya percaya persidangan dua hari yang bermula hari ini (semalam) dan berakhir esok (hari ini) mengenai sains sosial dan kemanusian akan mengangkat peranan UPM Bintulu sebagai sebuah universiti penyelidikan bagi etnik Borneo yang begitu kaya dan pelbagai,” katanya.
Hadir sama adalah Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Datuk Sebastian Ting, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu Datuk Amar Jamilah Anu, Naib Canselor UPM Profesor Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin dan Pengarah UPM Kampus Bintulu Prof. Madya Dr. Shahrul Razid Sarbini.
Oleh JEAKQLEYN YACHO