KUCHING, 17 November: Kawasan hutan paya bakau Kuala Selalang berpotensi menjadi antara khazanah alam semula jadi Sarawak yang diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi usaha pencalonannya sebagai Tapak Ramsar baharu di negeri ini.
Usaha berkenaan terus diperkukuh menerusi penganjuran Seminar Ekspedisi Saintifik Kuala Selalang Mangrove oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) melalui Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Seminar yang menghimpunkan kira-kira 150 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat itu menjadi platform penting untuk membentangkan hasil penyelidikan saintifik serta memperluas pengetahuan mengenai kepelbagaian biodiversiti dan ekosistem tanah lembap di kawasan berkenaan.
Seminar berkenaan dirasmikan Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, manakala majlis penutup disempurnakan Timbalan Pengarah Hutan (Pengurusan Hutan), Semilan Ripot.
Penganjurannya merupakan kesinambungan daripada Ekspedisi Saintifik Kuala Selalang Mangrove yang berlangsung pada 21 hingga 26 November lalu, melibatkan lapan bidang kajian utama bagi menilai kekayaan biodiversiti serta keadaan ekosistem kawasan tersebut.
Antara bidang kajian yang dilaksanakan ialah tanah; komposisi spesies, struktur hutan dan ekologi; entomologi; hidrologi; mikologi; fauna dan pemerhatian burung; kepelbagaian tumbuhan dan ekologi; serta sosioekonomi.
Penemuan daripada ekspedisi berkenaan menjadi asas penting dalam memahami nilai saintifik, ekologi dan kepentingan pemuliharaan hutan paya bakau Kuala Selalang, selain menyokong perancangan pengurusan kawasan tanah lembap secara lebih sistematik.
Dalam perkembangan berkaitan, JHS sedang mengusahakan permohonan pertimbangan dan kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi cadangan pencalonan Delta Rajang, termasuk kawasan hutan paya bakau Kuala Selalang, sebagai Tapak Ramsar.
Pengiktirafan berkenaan berpotensi mengangkat kepentingan kawasan tersebut sebagai ekosistem tanah lembap yang bernilai tinggi, sekali gus memperkukuh komitmen Sarawak dalam pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti.
Seminar itu turut mengiktiraf sumbangan semua pihak yang terlibat dalam ekspedisi saintifik berkenaan, di samping membuka ruang perkongsian hasil penyelidikan, pertukaran kepakaran dan pandangan antara agensi serta komuniti setempat.
Kerjasama rentas agensi dan penglibatan komuniti dilihat penting bagi memastikan usaha pemuliharaan tidak hanya bergantung kepada penyelidikan, malah diterjemahkan kepada tindakan pengurusan yang berkesan dan mampan.
Melalui inisiatif berkenaan, hutan paya bakau Kuala Selalang diharap berupaya menjadi sebahagian daripada Tapak Ramsar baharu di Sarawak, sekali gus memastikan khazanah biodiversiti dan ekosistem tanah lembap negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Oleh Adi Safarman




