Pameran Kreativiti, Inovasi dan Teknologi Miri (Miri Creativity, Innovation and Technology Exhibition – MCITEX) Peringkat Negeri Sarawak yang dianjurkan oleh Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri untuk pelajar sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan orang awam telah sampai ke penghujungnya.
Pameran yang berkonsepkan pertandingan yang menggalakkan budaya kreativiti dan inovasi ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR), Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Majlis Perasmian dan Penutupan MCITEX 2021 Peringkat Negeri Sarawak telah berlangsung pada 15 Oktober 2021 secara siaran langsung melalui laman Facebook MCITEX 2021. Ia telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sarawak (MESTR) Datuk Amar Michael Manyin Jawong.
Dalam ucapan beliau semasa majlis tersebut, beliau mengalu-alukan usaha seumpama MCITEX yang mampu menggalakkan serta memberi inspirasi kepada orang ramai terutamanya generasi muda dalam menjana inovasi yang akan seterusnya menyumbang kepada kemajuan negara.
“Masyarakat seharusnya dipupuk untuk berfikir secara kreatif dalam mencari solusi yang inovatif selaras dengan pembangunan global serta mampu bersaing dengan negara-negara maju,” ujar beliau lagi, “ia bukan sahaja akan membantu individu-individu berkenaan, malahan ia akan menyumbang kepada komuniti dan sektor perindustrian lebih-lebih lagi dalam situasi COVID-19 ini.”
Sebanyak 65 projek telah mendaftar penyertaan mereka tetapi selepas saringan, hanya 44 projek didapati layak untuk dinilai oleh panel juri.
Barisan panel juri yang terlibat pada MCiTeX 2021 bagi Kategori Terbuka ialah Pengurus Divisyen Projek Yayasan Inovasi Malaysia Amerridzal bin Bidin dan Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Muhyiddin bin Mohammed, manakala bagi kategori IPT pula, Ketua Unit Bahagian Kejuruteraan Paten MyIPO Mohd Fadzil bin Ahmad dan Timbalan Pengarah ILP Perai Adnan bin Ismail bertindak selaku juri. Panel juri bagi Kategori Sekolah Menengah pula ialah Ketua Teknikal Seksyen Penyelidikan dan Inovasi Sarawak Information System Sdn. Bhd (SAINS) Wong Wee Sian dan Timbalan Presiden Kesatuan Guru Sarawak Voon Choon Teck.
Pemenang bagi Kategori Sekolah Menengah, tempat pertama telah dimenangi oleh projek bertajuk TBorneo dari SMK Riam, Miri yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM1,000 berserta pingat emas dan sijil. Tempat kedua dimenangi oleh projek bertajuk YUCAVA juga dari SMK Riam, Miri yang membawa pulang hadiah wang tunai RM700 berserta pingat emas dan sijil. Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Projek bertajuk EZYGO SCOREBOARD dari SMK Tiong Hi, Sibu Sarawak membawa pulang hadiah wang tunai RM500 berserta pingat emas dan sijil.
Tempat pertama bagi Kategori IPT dimenangi oleh projek bertajuk Welder Hand Support dari ILP Miri yang membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM1,500 berserta pingat emas dan sijil. Tempat kedua pula dimenangi oleh projek bertajuk Sistem Pemantauan Suhu Berasaskan Mobile Apps juga dari ILP Miri yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta pingat emas dan sijil. Projek bertajuk Penyelenggaraan Elektrik juga dari ILP Miri pula memenangi tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM700 berserta pingat emas dan sijil.
Bagi Kategori Terbuka, tempat pertama dimenangi oleh projek bertajuk HEADHUNTER SUMOBOT ciptaan oleh Pui Chang Sin, seorang guru dari SMK Bandar Kuching No.1 dan beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai berjumlah RM2,500 berserta pingat emas dan sijil. Tempat kedua pula dimenangi oleh projek bertajuk ID PRO-TECH BOX ciptaan oleh Osman Ahmad dari Kolej Komuniti Miri yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 berserta pingat emas dan sijil. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh projek bertajuk STUDENT TRACKING SYSTEM (STS) dari ILP Kota Samarahan yang membawa pulang hadiah wang tunai RM1000 berserta pingat emas dan sijil.
Selain iru, satu anugerah khas bagi Projek Paling Popular yang dinilai melalui undian ‘Like’ terbanyak di saluran Youtube ILP Miri yang turut dipaparkan melalui Facebook MCITEX 2021 dimenangi oleh projek bertajuk A-Pipe Extension (APX) dari ILP Miri yang mendapat undian sebanyak 2,298. Pemenang membawa pulang Pingat dan Sijil Penghargaan.
Pengarah ILP Miri Mustal Makmud berharap penganjuran program ini bersama rakan strategik ILP pada kali ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mencari rekaan atau ciptaan projek inovasi yang berpotensi untuk diketengahkan khususnya di Sarawak.
Pertandingan ini pada asalnya dianjurkan dalam kalangan pelajar, pendidik dan kakitangan ILP Miri sejak 2015. Mereka telah menjadikan acara ini sebagai acara tahunan institut. Pada tahun 2017, Pertandingan Kreativiti dan Inovasi ini telah ditukar nama baru iaitu Miri Innovation and Technology Competition (MCiTeC) sehingga penganjuran 2019. Pada tahun 2019 pula, penganjuran MCiTeC julung kalinya dibuka kepada institusi dan sekolah di sekitar Miri dan tahun ini, ILP Miri menukar nama pertandingan kepada Miri Creativity, and Technology Exhibition (MCiTeX). Ia pertama kalinya dibuka kepada tiga kategori iaitu Sekolah Menengah, IPT (IPTA/IPTS/ILKA/ILKS) di Sarawak dan kategori Terbuka bagi Agensi Kerajaan, Agensi Swasta, Individu dan lain- lain di Sarawak, Sabah dan Labuan.
Pertandingan tahun ini juga dilaksanakan pertama kalinya dalam talian memandangkan negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19.
Oleh SOFIE SOFIAN